Written by 7:40 pm Bola Sepak, Malaysia

Netizen Jangan Terlalu Mengkritik Pemain Skuad Projek FAM-MSN

Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan orang ramai atau ‘netizen’ tidak terlalu mengkritik pemain-pemain skuad ini berikutan prestasi semasa mereka dalam saingan Liga Premier, musim ini.

Pengendali berusia 45 tahun itu melahirkan kebimbangan sekiranya kritikan yang berterusan kepada pemain-pemain ini boleh menyebabkan mereka hilang motivasi untuk melangkah jauh dalam pentas bola sepak negara.

Sebelum ini, prestasi skuad yang terdiri daripada rata-rata pemain berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun ini menjadi topik perbincangan peminat bola sepak ekoran belum meraih sebarang kemenangan dan menduduki dasar liga dengan hanya kutipan 2 mata.

“Para pemain saya adalah manusia biasa dan ada kalanya mereka juga terkesan dengan kata-kata netizen namun bagi saya, saya faham semua orang ada persepsi tersendiri kepada pemain-pemain skuad projek ini.

“Cuma saya harapkan orang ramai janganlah terus menerus menghukum mereka kerana dibimbangi jika situasi ini berterusan, kita bimbang mereka boleh hilang dari sukan bola sepak untuk melangkah lebih jauh.

“Mereka ini merupakan rangka pertama skuad projek untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi dan seandainya kita sentiasa berikan kata-kata positif yang menjurus kepada persembahan pemain, saya rasa ini akan mewujudkan persekitaran yang baik buat mereka.

“Janganlah semasa mereka bagus nanti, kita baharu hendak bagi sokongan namun semasa di bawah, kita berikan kata-kata yang negatif, sebaliknya cuba kita berikan ayat-ayat positif kepada pemain.” kata Yusri.

Sementara itu, Yusri yang pernah mengemudi pasukan Kuala Lumpur dan Kelantan sebelum ini turut menasihatkan para pemain agar mengurangkan masa menghadap media sosial.

Beliau bimbang perkara-perkara negatif di media sosial menyebabkan tahap keyakinan pemain-pemain berkurangan sekaligus membantutkan cita-cita mereka untuk melangkah jauh dalam sukan bola sepak. 

“Pesan saya kepada pemain, anda semua masih muda dan janganlah terlalu kerap membaca mesej-mesej negatif di media sosial kerana kelak ia sekadar menimbulkan kegusaran dalam keperibadian kamu untuk melangkah jauh dan buat masa sekarang, terus berusaha di atas padang sehingga satu hari nanti anda boleh buktikan kepada semua,” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, Skuad Projek FAM-MSN merupakan pasukan yang ditubuhkan hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN). 

Ianya bertujuan untuk mencipta laluan kerjaya bagi produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 52 times, 1 visits today)
Close