Written by 7:58 pm Lain-Lain

Olimpik 2020: Zii Jia Akui Sedikit Bimbang Bertemu Pemain China

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui sedikit bimbang sekiranya bertemu dengan pemain China, Chen Long atau Shi Yu Qi dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kebimbangan itu hadir kerana Zii Jia tidak mengetahui prestasi semasa atau tahap kecergasan kedua-dua pemain tersebut yang tidak menyertai dalam mana-mana kejohanan utama kebelakangan ini.

Walaupun mempunyai sedikit kebimbangan, atlet kelahiran Alor Setar, Kedah ini memaklumkan dirinya tidak sabar untuk beraksi bertemu kedua-duanya di dalam gelanggang kelak.

Wakil China dan pemenang pingat emas perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2016, Chen Long

“Saya memang memikirkan mengenai pemain perseorangan dari negara lain yang akan turun beraksi di sana nanti terutama dari China. 

“Ini situasi kali pertama pemain (China) yang akan turun di Olimpik tapi belum beraksi di mana-mana kejohanan,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Sementara itu, pemain berusia 23 tahun ini menjadikan kejayaan merangkul kejuaraan Seluruh England pada bulan Mac lalu sebagai bekalan untuk berentap dalam temasya Sukan Olimpik yang disertainya buat pertama kali ini.

“Kita tidak tahu tahap mereka sekarang dan perlu bersedia untuk berdepan mereka nanti. 

“Bagaimanapun, saya masih mempunyai keyakinan selepas muncul juara Seluruh England tahun ini.

“Aura dan permainan konsisten ini akan di bawa sebagai bekalan apabila tiba di Tokyo nanti. 

“Saya juga tidak fikir mengenai status bukan pilihan ataupun pemain pilihan, yang penting fokus kepada diri sendiri,” katanya lagi.

Untuk makluman semua, pada ketika ini, Zii Jia menduduki tangga kelapan dunia dalam ranking perseorangan lelaki yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Featured Image: Lee Zii Jia Facebook

(Visited 138 times, 1 visits today)
Close