Written by 12:11 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia • 2 Comments

Saingan Piala AFC Buat Terengganu & Kedah Dibatalkan

Hasrat dua buah pasukan tempatan, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC untuk beraksi dalam kancah Piala AFC nampaknya tidak kesampaian pada musim ini.

Hal ini kerana Exco AFC telah memutuskan saingan Piala AFC akan diteruskan namun perlawanan buat pasukan-pasukan daripada Kumpulan D, G, H dan I yang tidak dapat dijalankan ekoran ketiadaan atau penarikan diri negara hos akan dibatalkan. 

“Telah diputuskan bahawa pertandingan akan diteruskan dengan baki perlawanan dan kumpulan sebanyak mana yang boleh, namun pada masa yang sama, semua perlawanan di semua peringkat yang tidak dapat dimainkan berikutan peningkatan pandemik Covid-19 akan dibatalkan dan pembatalan tersebut akan dikategorikan sebagai peristiwa Force Majeure.” tulis kenyataan AFC, hari ini.

Untuk makluman, kedua-dua wakil negara iaitu Kedah dan Terengganu telah diundi di dalam Kumpulan H dan I masing-masing untuk saingan kali ini. Kedua-dua kumpulan ini sepatutnya beraksi di Singapura selaku negara hos.

Bagaimanapun, hujung Mei lalu, Singapura menerusi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menarik diri daripada menjadi negara hos berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara republik tersebut.

(Visited 618 times, 1 visits today)
Close