Artikel

Mora Mahu Tutup Kempen ACL Dengan Kutipan 6 Mata Lebih Baik Berbanding Tahun 2019

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora meletakkan sasaran anak-anak buahnya mencatatkan kemenangan ke atas Ratchaburi pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan G, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), malam esok.

Kemenangan itu bakal membolehkan skuad Harimau Selatan mengumpul enam mata sekaligus menamatkan kempen ACL musim ini berbanding musim 2019 dimana mereka sekadar mengumpul 4 mata.

“Kami sangat bermotivasi kerana kami tahu kami mampu menutup saingan ini dengan tiga mata ke atas Ratchaburi. Ini akan memberikan kami enam mata, pencapaian lebih baik berbanding 2019 dan 2020. Itu merupakan keutamaan kami dalam setiap kejohanan.” katanya seperti dipetik daripada laman sesawang AFC.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Mexico ini menyatakan walaupun JDT telah disahkan tidak layak untuk mara ke peringkat kalah mati, penyertaan mereka pada kancah ACL musim ini tetap memberikan manfaat terutamanya buat pemain-pemain muda.

“Walaupun kami tidak layak ke pusingan berikutnya, pengalaman ini merupakan peluang yang bagus buat Johor Darul Ta’zim meningkat sebagai sebuah pasukan,”

“Pemain-pemain muda mendapat pengalaman bermain menentang pasukan terbaik,” tambahnya lagi.

Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G antara JDT dan Ratchaburi dijadualkan berlangsung pada jam 10 malam esok (waktu Malaysia) di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen