Written by 5:53 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Piala AFC: Badd Cuba Positif Selepas Kelab Kemboja, Timor Leste Sertai Kumpulan I

Kapten Kedah Darul Aman (Kedah), Baddrol Bakhtiar berfikiran positif saingan Piala AFC tidak akan dibatalkan lebih-lebih lagi selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan Visakha (Kemboja) dan Lalenok United (Timor Leste) dimasukkan secara automatik ke dalam Kumpulan I.

Baddrol atau lebih dikenali dengan panggilan Badd beranggapan penyertaan dua pasukan tersebut mungkin membolehkan kedua-dua negara tersebut untuk menjadi tuan rumah bagi saingan Zon ASEAN sekaligus membolehkan beliau dan rakan-rakannya beraksi di pentas antarabangsa tersebut.

Untuk makluman, AFC menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam (5 Julai) mengatakan perlawanan Piala AFC melibatkan pasukan yang ketiadaan tuan rumah akan dibatalkan sementara saingan yang lain diteruskan seperti biasa.

“Masa mula-mula dengar berita, memang rasa sedikit kecewa sebab kita sudah lama melakukan persiapan ini, jadi kalau memang batal juga, nak buat macam mana.

“Cuma kami cuba untuk positif lagi dan berharap kerana selepas ada kelab dari Kemboja dan Timor Leste sertai kumpulan I, mungkin ada sedikit sinar untuk kita katakan mereka boleh jadi tuan rumah atau tidak.

“Tetapi apa-apa pun kita tunggu sahaja, dan kalau memang sudah pasti ia dibatalkan, kerja keras tetap perlu dilakukan untuk fokus kepada Liga Super dan Piala Malaysia pula”, jelasnya.

Untuk pengetahuan semua, Kedah dan Terengganu merupakan pasukan yang layak beraksi di pentas Piala AFC bagi musim 2021.

Berdasarkan undian yang dijalankan sebelum ini, Kedah diletakkan dalam Kumpulan H bersama-sama bersama-sama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.

Sementara itu, Terengganu pula berada di dalam Kumpulan I bersama-sama Geylang International dan dua pasukan yang diumumkan oleh AFC hari ini, Visakha dan Lalenok United.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

(Visited 74 times, 1 visits today)
Close