Written by 5:14 pm Bola Sepak, Malaysia

Semangat Tidak Putus Asa Bawa Fakhrullah Daripada Liga M3 Ke Liga Super

Memasang impian untuk beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak tempatan, Liga Super sejak tahun 2010 namun perkara tersebut hanya menjadi kenyataan pada tahun lalu. 

Itulah tempoh masa yang dilalui oleh pemain tengah yang beraksi bersama Melaka United, Mohd Fakhrullah Rosli untuk mencapai impiannya.

Kariernya banyak berkisar dalam saingan divisyen dua, Liga Premier namun dua tahun lalu, Fakhrullah hanya sekadar beraksi di saingan bola sepak semi profesional iaitu Liga M3.

Bagaimanapun, aksi cemerlangnya bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada tahun 2019 telah membuatkan pengurusan Melaka mahu mendapatkan khidmatnya untuk menghadapi saingan Liga Super 2020.

Fakhrullah ketika beraksi bersama pasukan SAMB – Foto: SAMB FC

“Dua tahun lalu adalah detik terbaik dalam karier saya apabila sebaik saingan M3 tamat, saya dihubungi oleh Asri Ninggal yang merupakan penolong jurulatih Melaka.

“Sebaik dia memberitahu ada tawaran, saya memang tidak percaya pada mulanya kerana bermain di Liga Super sedangkan saya hanya beraksi di Liga M3 sahaja pada waktu itu.

“Namun, mungkin sudah rezeki saya selepas sekian lama menanti saat sebegini sejak saya bermain bola sepak kerana memang sangat susah sebenarnya mendapat peluang bermain di Liga Super kerana persaingan begitu tinggi.

“Terima kasih kepada SAMB yang menyelamatkan karier saya selepas masalah pengurusan di Perlis pada 2019 dan apa yang terjadi mungkin ada hikmah tersendiri.

“Apa yang terjadi kepada saya diharapkan dapat berikan semangat kepada rakan-rakan di luar sana, jangan berputus asa walaupun terpaksa bermula dari bawah.

“Di mana sahaja kita bermain, berikan kesungguhan sebaiknya dan peluang itu akan datang jika kita tidak berputus asa kerana bola sepak ini rezekinya sukar dijangka,” katanya.

Fakhrullah ketika beraksi dalam satu perlawanan persahabatan musim ini.

Pemain yang berasal dari Jasin ini memulakan karier di peringkat Piala Belia dan Piala Presiden bersama Melaka sebelum mula beraksi di Liga Premier pada 2010 sebelum di Liga FAM hingga musim 2013.

Dia meneruskan karier bersama DRB Hicom FC di saingan Liga Premier selama dua musim (2014-2015) sebelum kembali ke saingan Liga FAM bersama SAMB (2017-2018) dan MOF FC (2018).

Biarpun tahun pertama bersama Melaka tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan namun musim ini dia sudah mula berjaya mengetuk pintu hati jurulatih, Zainal Abidin Hassan dengan diturunkan selaku watak ‘supersub’ dalam 11 perlawanan serta berjaya menghasilkan satu gol.

Menurut pemain yang berasal dari Jasin ini, kini dia meletakkan sasaran dapat berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali sebaik Liga Malaysia bersambung pada 24 Julai ini.

Featured Image: Melaka United Football Club

(Visited 186 times, 1 visits today)
Close