Written by 12:10 pm Lain-Lain • One Comment

Rasmi: TNB Liga Hoki Remaja Malaysia Lelaki & Wanita Bermula 26 November

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021 bagi kategori lelaki dan wanita akan bermula pada 26 November sehingga 2 Januari 2022.

Pengumuman penetapan tarikh kejohanan tersebut diumumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan menerusi pengerusinya, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh dalam satu hantaran video yang dimuat naik di laman media sosial rasmi MHC, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan saingan Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 akan bermula pada 10 November sehingga 20 November ini.

“Pada 25 Julai 2021, kami akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci untuk menetapkan di mana venue bagi kedua-dua kejohanan, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak, kerana penganjuran kejohanan TNB MJHL 2021 khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah.

“Jika sebelum ini penganjuran TNB MJHL membabitkan pemain di bawah 19 tahun, namun bagi tahun ini kami menaikkan had umur kepada 21 tahun ke bawah.

“Kami juga ada menerima cadangan untuk menaikkan sedikit lagi had umur penyertaan pemain bagi TNB MJHL 2021 namun ianya masih dalam perbincangan tetapi apa yang pasti kejohanan akan dianjurkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” jelas Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh.

Artikel Berkaitan: Liga Hoki Remaja Platform Untuk Pilih Pemain Sertai Piala Dunia 2023

Penganjuran TNB MJHL 2021 akan menyaksikan dua divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Setakat ini, MHC telah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori wanita pula sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan.

Untuk makluman, ekoran penularan Pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan.

Sementara itu, Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dikalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster melibatkan kejohanan tersebut.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

(Visited 108 times, 1 visits today)
Close