Written by 2:05 pm Lain-Lain • One Comment

Azizul ‘The Pocket Rocketman’ Tambah Berat 10kg Untuk Beraksi di Sukan Olimpik

Pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang memaklumkan menambah berat badannya sekitar 10 kilogram (kg) sebagai persediaan untuk mengharungi acara keirin dan pecut dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut laporan Bernama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ ini menjelaskan dia menambahkan jisim otot di bahagian bawah sekitar 10kg tersebut untuk meningkatkan kekuatannya.

“Bila dah tambah jisim otot, ia akan membantu meningkatkan kuasa output, sekali gus meningkatkan pecutan. 

“Ia dapat dilihat apabila catatan masa saya bagi pecutan 200 meter (m) meningkat dari semasa ke semasa, kemuncaknya saya memecahkan rekod Asia, kebangsaan dan peribadi dengan catatan 9.548 saat (s) di Kejohanan Dunia Berlin, pada Mac 2020.” katanya seperti dipetik daripada portal agensi berita kebangsaan terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai sandaran yang diletakkan di atas bahunya untuk memenangi pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, pelumba berusia 33 tahun ini mengambil positif akan cabaran tersebut serta menganggapnya sebagai tanggungjawab kepada negara.

Tambahan pula, Azizul turut memaklumkan segala persediaan dan persiapan telah dilakukan dengan sebaik mungkin sebelum daripada ini.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom

Sementara itu, mengiringi Azizul ke dua acara berkenaan adalah pelumba berusia 25 tahun, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang bakal membuat penampilan pertama di temasya Sukan Olimpik.

Untuk makluman semua, acara pecut akan berlangsung bermula 4-7 Ogos sementara acara keirin pula dijadualkan bermula 7-8 Ogos. Kedua-dua acara ini akan mengambil tempatnya di Izu Velodrome, Shizuoka.

Featured Image: Azizulhasni Awang Facebook

(Visited 621 times, 1 visits today)
Close