Written by 5:25 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Malaysia Hantar Skuad B-20 Untuk Harungi Kelayakan Piala Asia B-23, kata Ong Kim Swee

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menghantar skuad kebangsaan bawah 20 tahun (B-20) bagi mengharungi Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2022 yang bakal berlangsung pada 23 hingga 31 Oktober kelak.

Menurut Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, keputusan ini dibuat bagi mempersiapkan skuad B-20 negara untuk menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Justeru, skuad Malaysia yang akan beraksi menentang Thailand, Laos dan Mongolia pada peringkat kelayakan Kumpulan J kelak akan dibimbing dan dipimpin oleh Brad Maloney.

“Keputusan ini telah pun dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini (berusia 20 tahun dan ke bawah) akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023,

“Selain dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam pada 2021 (telah ditunda ke 2022) dan di Kemboja pada 2023.

“Jadi kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan-kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” kata Kim Swee dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, hari ini.

Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee

Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih Malaysia B-23 berkata diundi menentang Thailand, Laos dan Mongolia pada pusingan kelayakan ini bukan bermakna ianya laluan yang mudah buat skuad B-20.

Namun fokus utamanya adalah memberikan pendedahan kepada skuad B-20 ini bagi mempersiapkan mereka untuk mengharungi saingan kelayakan pada tahun 2023 kelak.

“Kita akan bertemu Laos pada perlawanan pertama yang mana mereka merupakan lawan biasa kita dalam kejohanan di Asia Tenggara. Tapi tak boleh ambil mudah kerana mereka menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

“Perlawanan kedua, Mongolia. Sudah tentu juga bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu mereka berkelebihan selaku pasukan tuan rumah manakala perlawanan ketiga, Thailand merupakan musuh tradisi kita dan juga pencabar utama.

“Jadi kita perlu bersiap sedia dengan persiapan yang lebih baik untuk layak ke pusingan akhir dan jika berjaya layak, ia satu bonus untuk para pemain skuad B-20 ini didedahkan dengan kejohanan yang lebih tinggi sebelum kita ke kelayakan seterusnya pada 2023.

“Mengenai persiapan pasukan menjelang saingan kelayakan pada Oktober ini, sudah tentu Brad (Maloney) mempunyai perancangannya yang mana beliau akan mengumpulkan para pemain bagi kem latihan pusat pada jendela FIFA yang akan datang ini,” jelas Kim Swee lagi.

Featured Image: FAM

(Visited 160 times, 1 visits today)
Close