Written by 4:01 pm Bola Sepak, Eropah

Final Euro 2020: Enam Perkara Menarik Daripada Kemenangan Itali Ke Atas England

Satu perlawanan akhir yang menghiburkan berlangsung antara England dan Itali di Stadium Wembley, pada awal pagi tadi.

Bermula dengan jaringan pembukaan yang awal daripada pertahanan tuan rumah, Luke Shaw pada minit ke-2 sehinggalah pertahanan Itali, Leonardo Bonucci berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

Perlawanan tersebut turut dilanjutkan sehingga 120 minit permainan untuk mencari pemenangnya namun kedua-dua pasukan kekal imbang sehingga tamat permainan. Ini memaksa juara Euro 2020 ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. 

Seperti kita sedia maklum, disaksikan oleh seluruh peminat di seluruh dunia, Itali berhasil menumpaskan England pada penentuan sepakan penalti dengan skor 3-2 sekaligus menjulang trofi Euro buat kali kedua dalam sejarah mereka.

Disebalik kejayaan Itali menjulang trofi kemenangan di Stadium Wembley tersebut, berikut adalah enam perkara menarik yang didapati oleh Sukanz untuk dihidangkan oleh semua pembaca: 

#1 Chiellini Bermula Sebagai Kapten Tertua Pada Final Kejohanan Eropah

Walaupun berusia 36 tahun, persembahan bertenaga dan mantap kapten skuad Azzurri, Giorgio Chiellini membuat majoriti terlupa akan umurnya yang boleh dikategorikan sebagai veteran bola sepak.

Menentang England di Stadium Wembley, Chiellini bukan sahaja memimpin barisan pertahanan untuk mematahkan serangan-serangan skuad Three Lions malahan dia turut membantu pasukannya untuk melakukan serangan bagi menjelmakan gol.

Ada satu ketika, percubaan Chiellini hampir-hampir menghadirkan gol penyamaan buat Itali namun rakan pertahanannya, Leonardo Bonucci yang berjaya menyudahkan peluang tersebut.

Pada usia 36 tahun dan 331 hari, pertahanan Juventus ini mencipta rekod sebagai pemain tertua yang turun dalam kesebelasan utama pada pentas final Euro sebagai kapten. 

Chiellini mengatasi rekod yang dipegang oleh bekas rakan sepasukannya sebelum ini, penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon yang bermain pada pentas final Euro 2012 menentang Sepanyol pada usia 34 tahun dan 154 hari.

#2 Luke Shaw Penjaring Terpantas di Pentas Final Euro

Pada awalnya pertahanan kiri Manchester United, Luke Shaw tidak menjadi pilihan utama buat pengurus England, Gareth Southgate untuk bermula dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, sejak diberikan peluang ketika menentang Scotland, Shaw memberikan persembahan yang memberangsangkan dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain sehingga ke pentas final.

Dalam aksi final yang berlangsung awal pagi tadi, Shaw mengejutkan Itali dengan jaringan seawal minit 1:57 sekaligus meletakkan England 1-0 di hadapan.

Jaringan tersebut yang merupakan jaringan pertamanya bersama skuad kebangsaan meletakkan namanya selaku pemain terpantas mencetak gol pada aksi final Euro. 

Rekod sebelum ini dipegang oleh Chus Pereda yang menjaringkan gol pada minit 5:04 ketika beraksi buat Sepanyol menentang Soviet Union pada final Euro 1964.

#3 Leonardo Bonucci Pemain Tertua Jaringkan Gol di Pentas Final Euro

Jika sebelum ini kita bercakap berkenaan Chiellini yang menjadi pemain tertua diturunkan untuk beraksi di pentas final Euro selaku kapten, kali ini, ia melibatkan rakan gandingannya, Leonardo Bonucci pula.

Bonucci yang menjaringkan gol penyamaan buat Itali pada minit ke-67 telah mencipta rekod baharu sebagai pemain tertua (34 tahun dan 71 hari) yang menjaringkan gol pada perlawanan akhir Euro.

Rekod terdahulu dipegang oleh pemain Jerman, Bernd Holzenbein (30 tahun dan 103 hari) ketika menentang Czechoslovakia pada final Euro 1976.

#4 Saka Muncul Pemain Ke-4 Termuda Beraksi di Final Euro

Berusia 19 tahun, Bukayo Saka dimasukkan oleh Gareth Southgate sebagai pemain gantian pada minit ke-70 menggantikan Kieran Trippier. 

Kemasukannya itu menjadikan Saka (19 tahun dan 309 hari) sebagai pemain keempat termuda yang membuat penampilan dalam sejarah pentas final Euro. 

Pemain yang lebih muda daripadanya yang beraksi di pentas final ialah Renato Sanches, 18 tahun 328 hari (Euro 2016), Cristiano Ronaldo, 19 tahun (Euro 2004) dan Anatoliy Baidachniy, 19 tahun (Euro 1972).

#5 Donnarumma Penjaga Gol Kedua Yang Memenangi Anugerah Player of The Tournament

Kejayaan skuad Azzurri bimbingan Roberto Mancini menjulang trofi Euro buat kali kedua dalam sejarah mereka turut mendapat sumbangan besar daripada prestasi yang memberangsangkan penjaga gol mereka, Gianluigi Donnarumma.

Ketika aksi separuh akhir, Donnarumma membantu Itali mara ke perlawanan akhir dengan menafikan dua penalti Sepanyol pada penentuan sepakan penalti. Sebelum daripada itu, dia memastikan Itali merekodkan ‘clean sheet’ dalam 3 perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam penentuan sepakan penalti menentang England, penjaga gol berusia 22 tahun ini menafikan sepakan penalti yang diambil oleh Jadon Sancho dan Bukayo Saka.

Disebabkan persembahan tersebut sepanjang kejohanan ini berlangsung, dia telah dipilih sebagai Player of The Tournament bagi Euro 2020. Ini meletakkannya selaku penjaga gol kedua yang memenangi anugerah ini selepas Peter Schmeichel (Denmark) pada Euro 1992.

#6 England Paling Banyak Tewas Penentuan Penalti Di Pentas Euro

Kekalahan England di tangan Itali menerusi penentuan sepakan penalti, pada awal pagi tadi, merupakan yang keempat dalam kejohanan Euro – kekalahan paling banyak berbanding pasukan lain dalam sejarah.

Untuk rekod, pertama kali England melepasi penentuan sepakan penalti ketika menumpaskan Sepanyol 4-2 pada peringkat suku akhir Euro 1996. Selepas daripada itu, satu sumpahan telah terkena kepada England.

Mereka gagal pada penentuan sepakan penalti ketika bertemu Jerman (separuh akhir Euro 1996), Portugal ( suku akhir Euro 2004), Itali (suku akhir Euro 2012) dan terbaharu skuad Azzurri, (perlawanan akhir Euro 2020).

Adakah sumpahan penentuan sepakan penalti ini akan berlanjutan pada saingan Piala Dunia 2020 kelak? Sama-sama kita nantikan.

(Visited 152 times, 1 visits today)
Close