Written by 6:05 pm Bola Sepak, Malaysia

Lee Tuck Mahu Jaring Lebih Banyak Gol Sebelum Kembali Bersama Sri Pahang

Pemain tengah yang sedang dipinjam oleh Terengganu, Lee Tuck mensasarkan untuk menjaringkan lebih banyak gol sebelum kembali bersama pasukan asalnya, Sri Pahang pada musim hadapan.

Menurut pemain kelahiran England ini, sasaran tersebut mahu dicapai bersama Terengganu pada musim ini supaya dia dapat membawa momentum tersebut untuk beraksi dengan lebih baik bersama Sri Pahang kelak.

Selain itu, Lee Tuck yang pernah beraksi bersama Terengganu selama 3 musim sebelum ini turut berazam untuk membantu skuad bimbingan Nafuzi Zain ini menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya selaku naib juara.

“Saingan yang lebih berbeza apabila saya kini berada bersama pasukan yang kini di kedudukan lebih tinggi berbanding Pahang sekarang di tangga ke-9, jadi cabaran yang dirasai lebih tinggi.

“Saya ingin cuba mencari lebih banyak jaringan sama seperti saya lakukan pada tahun lepas, dan ingin bawa pencapaian ini untuk mulakan musim baharu 2022 dengan lebih positif apabila kembali bersama (Sri) Pahang.

“Saya teruja nak kembali semula ke (Sri) Pahang pada tahun depan, tetapi musim ini, saya perlu bekerja keras untuk bantu Terengganu terlebih dahulu untuk kekal di tangga kedua kerana musim lepas kami berada di kedudukan ketiga liga”, kata pemain berusia 33 tahun ini.

Untuk rekod, Lee Tuck menjaringkan sebanyak 6 gol daripada 11 penampilan bersama Terengganu pada musim 2020.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 21 times, 1 visits today)
Close