Artikel

‘Penghargaan Kepada Saya & Malaysia’ – Reaksi Azizul Selepas Disenaraikan Antara 10 Atlet Yang Perlu Diberikan Tumpuan di Tokyo

Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang menyifatkan penyenaraian namanya sebagai salah seorang atlet yang perlu diberikan tumpuan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 oleh media antarabangsa merupakan satu penghargaan bukan sahaja dirinya malahan Malaysia secara amnya.

Baru-baru ini, akhbar dan portal berita yang berpangkalan di Australia, The Age menyenaraikan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini sebagai salah seorang daripada 10 atlet yang perlu diberikan perhatian pada temasya sukan terbesar dunia yang adakan berlangsung dalam tempoh 9 hari lagi.

Perkembangan tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican serta dikongsikan menerusi Instagram Story beliau beberapa hari yang lepas.

Tangkap layar Instagram Story Menteri Belia dan Sukan

“Bagi saya ia merupakan satu pengiktirafan yang besar daripada media antarabangsa, dan kita tahu Australia merupakan salah sebuah ‘sporting nation’ dalam dunia,”

“Apabila mereka mengiktiraf saya Azizulhasni Awang dari Malaysia, bagi saya ini merupakan satu penghargaan untuk karier saya dalam sukan berbasikal ini, dan juga penghargaan untuk Malaysia.” katanya dalam sidang media dalam talian yang dihoskan oleh Bazly Azmi dan Irfan Ali di saluran Astro, hari ini.

Antara atlet lain yang disenaraikan oleh portal dan akhbar tersebut Monica Abbott (Amerika Syarikat, softball), Joshua Cheptegei (Uganda, larian 5000m & 10,000m), Simone Biles (Amerika Syarikat, gimnastik), Katie Ledecky (Amerika Syarikat, berenang), Sky Brown (Great Britain, skateboarding), Teddy Riner (Perancis, judo), Luka Doncic (Slovenia, bola keranjang), Jerry Tuwai (Fiji, ragbi) dan Lydia Valentin (Sepanyol, angkat berat).

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan terakhirnya sebelum terbang ke bumi matahari terbit tersebut, pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’ ini menjelaskan dia sedang menumpukan perhatian kepada latihan melibatkan kelajuan.

“Kita fokus kepada ‘speed’, semua kita punya ‘hardwork’ kita dah buat sejak dua tahun yang lalu yang memfokuskan kepada ‘power’, ‘strength’ dan sebagainya, jadi yang terakhir ini banyak fokuskan kepada kelajuan.” jelasnya lagi.

Seperti kebiasaanya, Azizul akan mengambil bahagian dalam dua acara iaitu keirin dan pecut sambil ditemani oleh seorang lagi atlet basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Featured Image: Azizulhasni Awang Facebook

komen