Written by 2:28 pm Lain-Lain

Roger Federer Tarik Diri Daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020

Bintang tenis, Roger Federer mengumumkan terpaksa menarik diri daripada bersaing dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan membuka tirainya, sembilan hari lagi.

Pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali tersebut terpaksa menarik diri kerana kesakitan di bahagian lutut disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya tahun lalu.

Kecederaan itu memerlukannya menjalani pembedahan dan menyebabkan Federer tidak dapat menyertai sebarang kejohanan selama 13 bulan iaitu dari Februari 2020 sehingga Mac 2021.

Baru-baru ini, pemain tenis yang bakal menginjak usia 40 tahun menyertai kejohanan Wimbledon 2021. Namun perjalanannya dalam kejohanan tersebut hanya setakat suku akhir apabila ditewaskan oleh pemain Poland, Hubert Huckarz.

“Ketika sesi latihan di gelanggang berumput, saya mengalami sakit di bahagian lutut dan saya terpaksa akur untuk menarik diri daripada Sukan Olimpik Tokyo.” katanya menerusi akaun media sosial peribadinya.

Penarikan ini sekaligus menutup peluang bintang tenis kelahiran Switzerland itu untuk memenangi emas dalam temasya sukan terbesar dunia yang diadakan empat tahun sekali.

Pencapaian terbaik beliau di pentas Olimpik adalah memenangi pingat perak pada tahun 2012. Pingat tersebut diraih selepas gagal mengatasi pemain Great Britain, Andy Murray dalam perlawanan akhir pada temasya Sukan Olimpik di London. 

(Visited 37 times, 1 visits today)
Close