Artikel

MFL Kongsikan Hampir 700,000 Tonton Aksi Terengganu Tumpaskan JDT – Tertinggi Setakat Ini

Perlawanan yang menyaksikan Terengganu menumpaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 pada aksi kesepuluh Liga Super, merekodkan jumlah tontonan tertinggi setakat ini.

Makluman tersebut dikongsikan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Difahamkan, jumlah tontonan siaran langsung itu diambil daripada kesemua platform yang menyiarkan perlawanan tersebut iaitu Sports Channel di unifi TV dan unifi PlayTV dan unifi Youtube.

“Siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei 2021 mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341.” tulis kenyataan tersebut.

Sebagai rekod, perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan tumpas buat pertama kali di Stadium Sultan Ibrahim hasil jaringan tunggal pemain muda, Hakimi Abdullah pada minit ke-57.

Sementara itu, MFL turut memaklumkan sejumlah 21 juta penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi).

“Itulah angkanya iaitu 21,814,979 jumlah tontonan siaran langsung keseluruhan setakat ini di mana ia melibatkan 78 perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terhasil sebanyak 202 gol.

“Apa yang menarik, kesemua video perlawanan Liga Super telah ditonton sebanyak 49,838,140 sehingga 30 Mei 2021 menerusi unifi YouTube.

“Statistik ini menunjukkan Liga Malaysia terutama Liga Super merupakan produk yang terbaik kepada rakan-rakan penaja kami untuk komersialkan produk mereka.

“Namun begitu saya optimis bahawa melalui teknologi sedia ada seperti siaran langsung melalui unifi TV, unifi YouTube dan RTM, sokongan terhadap liga tempatan tidak akan sesekali luntur kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani dalam kenyataan yang sama.

Untuk makluman, rekod tontonan siaran langsung ini hasil dikutip daripada aksi pertama Liga Super pada 5 Mac 2021 sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei 2021 sebelum saingan Liga Malaysia berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai 2021.

Featured Image: Terengganu FC

komen