Artikel

Waspada Pemain-Pemain Muda Selangor 2, Pesan Elavarasan

Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan melihat pasukan simpanan, Selangor 2 bukanlah sebuah pasukan yang mudah untuk dihadapi.

Justeru, beliau meminta anak-anak buahnya untuk berwaspada terutamanya kelibat pemain-pemain muda daripada pasukan tersebut menjelang pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Premier, Sabtu ini.

Sebagai persiapan untuk menyambung kembali saingan liga, disamping berlatih secara Camp Based, mereka turut mengatur satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super, Kuala Lumpur City (KL City) baru-baru ini.

Sejurus selepas mengharungi perlawanan persahabatan tersebut, Elavarasan turut menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki beberapa kekurangan yang dihadapi oleh pasukannya terutamanya melibatkan kecergasan.

Ketua jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan

“Disebabkan kita sekarang pun berlatih dalam Camp Based dan berada dalam gelembung sukan, jadi memang banyak kita boleh nilai dekat mana kelemahan memandangkan kami semua tinggal sama-sama.

“Kita pula hanya sempat merancang satu perlawanan persahabatan sahaja pada Isnin lalu, dan selepas itu hanya ada masa lima hari untuk perbaiki balik kekurangan yang ada selepas aksi tersebut.

“Bagi saya, pemain-pemain masih belum bersedia sangat ketika menentang Kuala Lumpur, jadi banyak yang saya perlu ubah untuk berdepan aksi pada Sabtu ini.

“Selangor 2 juga bukan pasukan yang mudah dan kita perlu waspada dengan pemain-pemain muda yang mereka ada”, jelasnya.

Perlawanan persahabatan bertemu dengan KL City itu berkesudahan dengan keputusan 2-2.

Untuk makluman, pada ketika ini, Sarawak United sedang memimpin carta Liga Premier dengan 23 mata setelah mengharungi 10 perlawanan.

Mengikuti rapat di tangga kedua adalah Negeri Sembilan dengan 22 mata.

Featured Image: MFL

komen