Written by 6:50 pm Bola Sepak, Malaysia

3 ‘Reserve Team’ Di Atas KUFC, Peluang Ke Liga Super Masih Terbuka

Ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC) baharu, Nazrulerwan Makmor tidak menolak peluang pasukannya untuk merebut tempat layak ke pentas Liga Super pada musim hadapan masih lagi terbuka.

Menurut jurulatih berusia 41 tahun ini, walaupun berada di tangga keenam, peluang masih terbuka kerana tiga pasukan yang berada di atas mereka merupakan berstatus ‘Reserve Team’ dan perbezaan mata antara KUFC dan pasukan di tangga kedua, Negeri Sembilan tidaklah begitu besar.

“Sekarang jurang mata pun tidaklah terlalu jauh untuk kami cuba mengejar, dan ada tiga ‘Reserve Team’ berada di atas kami. 

“Jadi, tidak mustahil kami akan cuba untuk raih slot layak ke Liga Super sekiranya ada rezeki, tetapi kita sedar ianya bukan mudah. 

“Kita perlu ambil serius baki perlawanan yang ada ini dan amat penting pemain-pemain terutamanya pemain baharu untuk cuba beri impak yang berbeza selepas ini,” katanya yang baru sahaja diumumkan sebagai ketua jurulatih KUFC yang baharu secara rasmi, hari ini.

Berdasarkan kepada makluman pihak kelab, Nazrulerwan dipilih untuk mengemudi KUFC berikutan ketua jurulatih sebelum ini, Akira Higashiyama dinaikkan pangkat untuk menjadi Pengarah Teknikal bagi menguruskan pembangunan akar umbi dan pemain muda.

Nazrulerwan bukanlah nama yang asing buat pasukan berpangkalan di Kota Bharu ini. Dia pernah mengemudi pasukan ini pada pertengahan musim yang lalu dan membantu pasukan ini menduduki tangga kelapan liga sekaligus membolehkan mereka kekal dalam saingan Liga Premier.

Sementara itu, mengulas mengenai tewas 0-4 kepada Terengganu dalam satu perlawanan persahabatan yang diadakan semalam, Nazrulerwan melihatnya sebagai satu pengajaran yang baik serta peluang untuk mengenalpasti kelemahan sebelum menyambung aksi Liga Premier bertemu PDRM FC pada 25 Julai nanti.

“Kalau boleh, memang la kita nak menang dalam aksi persahabatan semalam, tetapi kalau kita tidak kalah, saya rasa kita tidak akan tahu dekat mana kelemahan sebenar pasukan.

“Pertama sekali, skuad Nafuzi Zain sememangnya lebih hebat dan mendominasi, dan pasukan saya masih dalam proses menyesuaikan diri dan mendapatkan tahap kecergasan yang betul di atas padang. 

“Tetapi, itu tidak bermakna mereka tidak bagus, dan saya percaya ia akan menjadi pengajaran terbaik untuk kita tengok balik apa yang kita boleh perbaiki sebelum kita menentang PDRM nanti,” jelasnya.

Sebelum daripada itu, mereka turut mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang sebuah lagi pasukan Liga Super, Penang FC dan tumpas dengan skor 1-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Featured Image: Kelantan United FC

(Visited 348 times, 1 visits today)
Close