Written by 5:22 pm Lain-Lain

Azreen Nabila Pasang Impian Pecahkan Rekod Kebangsaan Milik Shanti

Pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias yang terpilih untuk mewakili Malaysia dalam acara 100 meter (m) di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah mula memasang impian untuk memecahkan rekod kebangsaan.

Untuk makluman, rekod kebangsaan bagi acara 100m untuk kategori wanita adalah 11.50 saat dan ianya masih dipegang oleh bekas pelari pecut negara, G. Shanti sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, pelumba kelahiran Setiu, Terengganu ini tetap meletakkan fokus dan keutamaannya pada penampilan pertama di Sukan Olimpik kali ini untuk memperbaiki rekod peribadi yang diraihnya pada kejohanan SUKMA, tiga tahun lalu.

“Impian pertama saya sudah pasti mahu lakukan catatan masa terbaik di pentas dunia itu sekali gus memperbaiki rekod peribadi dengan 11.81 saat yang saya lakukan ketika mewakili Terengganu pada pentas SUKMA 2018.”

“Impian kedua sudah pasti mahu mengintai peluang untuk memecah rekod kebangsaan 28 tahun lalu milik bekas pelari pecut negara, G Shanti yang melakukan catatan masa 11.50 saat ketika Pra Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993.”

“Namun saya akui bukan mudah untuk merakam catatan terbaik kerana perlu bersaing dengan atlet terbaik seluruh negara yang sudah pasti lebih pantas selain mereka sudah pasti melakukan persiapan lebih awal.”

“Tapi saya tetap bangga dan bersedia bersaing dengan peserta terbaik dunia walaupun sebelum turun ke gelanggang nanti pasti perasaan gementar menyelubungi saya kerana mereka lebih laju berbanding saya,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Untuk makluman, Azreen, 21 tahun, terpilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik atas tiket ‘wild card’ setelah atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei layak menyertai temasya yang sama secara merit.

Featured Image: SUKMA 2018

(Visited 53 times, 4 visits today)
Close