Written by 12:15 pm Bola Sepak, Malaysia

Majoriti Graduan AMD ‘Batch’ 1 & 2 Berjaya Sertai Kelab Profesional – 37 Daripadanya Bersama Selangor

Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari atau lebih dikenali sebagai AMD merupakan sebuah akademi elit yang dijelmakan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menurut NFDP, setakat 30 Jun 2021, keseluruhan graduan AMD adalah 74 orang dimana ‘batch’ pertama adalah seramai 34 orang. Manakala bagi ‘batch’ kedua pula adalah seramai 40 orang.

Pada masa yang sama, NFDP turut mendedahkan hampir keseluruhan graduan-graduan akademi yang berpangkalan di Gambang, Pahang tersebut telah berjaya menyertai kelab-kelab profesional bagi mengembangkan karier masing-masing.

Berdasarkan perkongsian oleh NFDP, Selangor merupakan pasukan yang paling ramai disertai oleh graduan-graduan AMD. Seramai 37 orang dilaporkan menyertai pasukan yang mendapat julukan Red Giants tersebut.

Manakala, juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi destinasi kedua teramai disertai kalangan graduan-graduan AMD. Seramai 13 orang pemain direkodkan menyertai pasukan berpangkalan di selatan semenanjung tanah air ini.

Sementara itu beberapa graduan yang lain memilih untuk menyertai UiTM (6 orang), Terengganu (5 orang), Skuad Projek FAM-MSN (5 orang), Sabah (2 orang), Kedah Darul Aman (1 orang), Perak (1 orang), Sri Pahang (1 orang) dan Kelantan United (1 orang).

Luqman Hakim yang merupakan kelompok ‘batch’ pertama menjadi satu-satunya graduan AMD yang dapat menyertai kelab profesional berpangkalan di luar negara iaitu KV Kortrijk.

Hanya seorang sahaja yang tidak menyertai kelab profesional namun pihak NFDP memaklumkan graduan AMD tersebut telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran secara sepenuh masa.

Featured Image: NFDP

(Visited 1,179 times, 3 visits today)
Close