Artikel

Brisbane Dipilih Sebagai Tuan Rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah memilih Bandar Brisbane, Australia sebagai tuan rumah bagi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032.

Pengumuman ini dimaklumkan secara rasminya selepas daripada mesyuarat IOC di Jepun, hari ini. Ia turut dikongsikan melalui pelbagai platform media sosial @Tokyo2020 dan @Olympics sebentar tadi.

Untuk makluman, pemilihan Bandar Brisbane yang merupakan ibu negeri bagi Queensland merupakan yang pertama di bawah sistem bidaan baharu oleh IOC.

Tarikh penganjuran Sukan Olimpik Brisbane dan Paralimpik Brisbane 2032 dicadangkan bermula 23 Julai – 8 Ogos 2032.

Difahamkan, 37 venue akan digunakan untuk menganjurkan kesemua acara pada temasya yang akan berlangsung dalam masa sebelas tahun lagi tu.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali ketiga Australia menjadi tuan rumah bagi temasya sukan terbesar dunia yang diadakan setiap empat tahun sekali ini. 

Kali terakhir mereka menjadi tuan rumah adalah pada tahun 2000 di Sydney. Sebelum itu, mereka pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1956 di Melbourne.

Sebagai tambahan, temasya Sukan Olimpik bagi tahun 2024 dan 2028  telah pun dipilih dan akan dilangsungkan di Paris, Perancis dan Los Angeles, Amerika Syarikat.

komen