Artikel

FIFA Keluarkan Kenyataan Rasmi Nafi Sedang Uji 5 Peraturan Baharu

Beberapa hari lalu, telah tersebar mengenai laporan-laporan yang mengatakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedang menguji beberapa peraturan baharu bagi sukan bola sepak.

Menurut laporan-laporan yang tersebar, sekuarang-kurangnya lima perubahan yang sedang diuji dalam satu kejohanan remaja yang dipanggil The Future Football Cup melibatkan pasukan-pasukan akademi seperti AZ Alkmaar, RB Leipzig, Club Brugge dan PSV yang dilangsungkan di Belanda.

Antara lima perubahan yang sedang diuji di dalam kejohanan tersebut adalah hanya 30 minit dilangsungkan setiap babak, masa permainan terhenti jika bola keluar, sepakan ke dalam menggantikan lontaran ke dalam, pemain yang dikenakan kad kuning perlu keluar padang selama 5 minit dan tiada had pertukaran.

Perkara tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada peminat bola sepak seluruh dunia, bagaimanapun, FIFA tampil mengeluarkan kenyataan rasmi, menafikan mengenai perkara tersebut menerusi laman sesawangnya, Isnin lalu.

Tangkap layar kenyataan rasmi oleh FIFA

“FIFA mahu menjelaskan mengenai laporan yang sedang tersebar di media sejak beberapa hari lalu mengenai niat FIFA untuk menguji beberapa perubahan pada peraturan permainan (Laws of the Game) pada kejohanan peringkat remaja yang dilangsungkan di Belanda.”

“FIFA mengesahkan tiada sebarang niat untuk menguji sebarang perubahan sepertimana laporan-laporan yang tersebar, malahan perubahan-perubahan tersebut tidak pernah dibincangkan samada secara dalaman di dalam FIFA atau bersama rakan kongsi di The IFAB (Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa).” tulis kenyataan badan induk bola sepak dunia tersebut.

Dengan penafian rasmi daripada FIFA, nampaknya sukan bola sepak ini kekal dimainkan sepertimana sebelum ini.

Featured Image: Red Bull

komen