Written by 8:03 pm Bola Sepak, Malaysia

Kecederaan Membantutkan Misi Besar Nik Sharif Bersama Selangor

Perpindahan pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy atau dikenali sebagai Nik Sharif dari Pahang ke Selangor sepatutnya menjadi satu anjakan paradigma buat karier pemain berusia 24 tahun, musim ini.

Malangnya, pemain yang diumumkan menyertai skuad Red Giants pada Disember tahun lalu, kempunan untuk merekodkan sebarang penampilan bersama Selangor apabila dia mengalami kecederaan buku lali ketika sesi latihan pramusim, mac lalu.

Kecederaan tersebut memaksa Nik Sharif berehat panjang antara 6-8 minggu sekaligus membuatkannya terlepas 13 perlawanan Liga Super yang telah berlangsung setakat ini.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru menyaksikan Nik Sharif telah pulih daripada kecederaan tersebut. Selain daripada menyertai latihan bersama skuad simpanan, Selangor 2, Nik Sharif juga telah diturunkan dalam satu perlawanan persahabatan melibatkan Selangor menentang Melaka United, baru-baru ini.

“Kali terakhir saya beraksi dalam aksi kompetitif ketika Piala Malaysia musim lepas, dan perlawanan persahabatan ketika menentang Melaka tempoh hari adalah yang pertama untuk saya akhirnya sentuh bola selepas lama berehat.

“Pernah juga bersaing dengan skuad Selangor 2, tetapi bagi saya itu belum mencapai tahap intensiti yang tinggi tetapi ketika lawan Melaka, baru saya dapat rasakan yang saya masih lagi kurang cergas dan itu yang saya perlukan sekarang.

“Mula-mula saya datang ke Selangor adalah dengan misi yang besar, tetapi bila dah cedera, memang tak boleh nak buat apa, yang penting saya memang nak cabar diri saya keluar daripada zon selesa dan harap dapat diberi peluang beraksi lebih kerap selepas ini,” katanya.

Pemain yang memulakan karier bersama Pahang ini turut mengakui berhadapan dengan emosi yang kurang stabil ketika peringkat awal mengalami kecederaan namun dia tampil semakin positif setelah pulih dan mula menjalani latihan bersama skuad senior.

Penghujung musim lalu, pemain muda ini antara yang mencuri tumpuan para peminat bola sepak tempatan apabila menjaringkan 3 gol dan merekodkan 2 ‘assist’ dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super musim lalu.

Untuk makluman semua, saingan Liga Super kembali bersambung pada Sabtu ini dan Selangor dijadualkan bertemu seteru Lembah Klang mereka, Kuala Lumpur City (KL City) di gelanggang lawan, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Featured Image: Selangor FC

(Visited 119 times, 1 visits today)
Close