Written by 11:16 am Asia, Bola Sepak, Eropah, Malaysia • 2 Comments

Kelab ‘Kaya’ Singapura, Lion City Sailors Umum Kerjasama Dengan Dortmund

Kelab yang beraksi dalam saingan Singapore Premier League (SPL), Lions City Sailors mengumumkan satu kerjasama dengan gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund.

Menurut makluman rasmi kelab, kerjasama kedua-dua pihak tersebut merangkumi program pembangunan remaja, kejurulatihan, pertukaran pengetahuan dan kepakaran serta penyertaan pemain di kem latihan bola sepak Jerman bagi mencapai sasaran bersama.

Difahamkan Lion City Sailors dan Dortmund telah menandatangani kontrak kerjasama selama dua tahun dan setengah.

Kerjasama ini akan meningkatkan lagi komitmen untuk membina sebuah infrastruktur kukuh kepada pembangunan bola sepak remaja Singapura serta sokongan kepada perkembangan dalam bidang-bidang seperti sains sukan, perubatan sukan, analytics dan pemantauan bakat.

Lion City Sailors dilihat cukup teruja dengan prospek kerjasama ini yang akan menggalakkan lagi pembangunan kelab dan Akademi Bola Sepak LCS dalam usahanya untuk menjadi sebuah hub pembangunan remaja elit.

Untuk makluman semua, ini bukanlah pemeteraian kerjasama Dortmund yang pertama dengan pasukan berpangkalan di asia tenggara.

Majlis Tandatangan Kerjasama antara JDT dan Borussia Dortmund pada tahun 2015

Sekitar enam tahun yang lalu, kelab yang berpangkalan di selatan semenanjung tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) antara yang telah mengadakan kerjasama bersama skuad The Black and Yellow ini.

Hasil daripada kerjasama tersebut JDT mendapat beberapa manfaat seperti perkongsian kepakaran dan kejurulatihan, pembangunan bola sepak remaja, penyertaan pemain JDT di kem latihan Borussia Dortmund dan termasuk perkongsian ilmu di luar padang seperti pemasaran.

Kerjasama itu turut menyaksikan Dortmund bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos untuk berentap bersama JDT dalam satu perlawanan persahabatan.

Featured Image: Lion City Sailors

(Visited 210 times, 1 visits today)
Close