Artikel

Mampukah 10 Pemain Senior Ini Bantu ‘Adik-Adik’ Menangi Pingat Olimpik Tokyo?

Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 turut mempertandingkan acara bola sepak bagi kategori lelaki dan wanita. Setiap kategori disertai oleh 16 pasukan yang layak menerusi pusingan kelayakan setiap benua.

Seperti kita sedia maklum, saingan bola sepak di pentas Sukan Olimpik hanya disertai oleh skuad bawah 23 tahun (B-23) namun dibenarkan menyenarai seramai 3 orang pemain yang melebihi umur tersebut.

Disebabkan berlaku penundaan yang memaksa Jawatankuasa Olimpik (IOC) menganjurkannya pada tahun ini, maka acara bola sepak pada kali ini membenarkan penyertaan pemain yang berumur 24 tahun dan kebawah manakala pemain berusia 25 tahun ke atas akan dikategorikan sebagai pemain lebih umur.

Daripada 16 pasukan bola sepak lelaki, sejumlah pemain lebihan umur atau senior yang ternama disenaraikan amat menarik perhatian untuk disaksikan persembahan mereka.

Berikut adalah 10 pemain senior yang disenaraikan Sukanz untuk diperhatikan. Mampukah mereka membantu ‘adik-adik’ memenangi pingat di Tokyo? Ayuh kita saksikan bersama-sama.

#1 Winston Reid, 33 Tahun

Foto: West Ham United

Pertahanan New Zealand ini rasanya bukanlah individu yang asing buat peminat bola sepak yang mengikuti Liga Perdana Inggeris (EPL). Winston Reid merupakan nama yang tidak asing dilihat menyarung jersi West Ham United berwarna ‘claret and blue’ sejak tahun 2010 lagi. 

Musim lalu, dia dipinjamkan kepada Brentford dan Reid antara pemain yang membantu pasukan tersebut meraih promosi ke saingan EPL 2021/22. Menarik untuk menyaksikan bagaimana persembahan Reid untuk membantu New Zealand mara sejauh mungkin dalam saingan bola sepak lelaki di temasya Sukan Olimpik kali ini.

#2 Max Kruse, 33 Tahun

Foto: Bundesliga

Bagi peminat Bundesliga dan Die Mannschaft, nama pemain yang beraksi sebagai penyerang ini pastinya cukup dikenali. Sejak zaman remajanya sehingga sekarang, Kruse lebih banyak berkarier di negara kelahirannya sendiri. Hanya musim 2019/20 sahaja Kruse keluar beraksi di Turki iaitu bersama pasukan Fenerbahce. 

Selepas merekodkan 11 gol dan 5 ‘assist’ bersama Union Berlin dalam saingan Bundesliga musim lalu, Kruse menarik perhatian ketua jurulatih skuad Olimpik Jerman, Stefan Kuntz untuk menyenaraikan namanya bagi mengisi salah satu daripada pemain lebih umur.

Baca: Jerman Pertaruhkan 3 Pemain Senior – Kruse, Amiri & Arnold

#3 Guillermo Ochoa, 36 Tahun

Foto: CONCACAF

Gaya rambut keriting yang cukup ikonik. Mencuri tumpuan dengan menampilkan persembahan yang sangat memberangsangkan ketika saingan Piala Dunia 2014. Siapa lagi kalau bukan penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa namanya. 

Kecemerlangan Ochoa membolehkan Mexico mengikat pasukan pilihan, Brazil seri tanpa jaringan di Fortaleza. Mempunyai 114 penampilan bersama skuad El Tri, dan telah menyertai beberapa kejohanan utama antarabangsa, pengalamannya sangat diperlukan untuk membimbing pemain-pemain muda dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik kali ini.

#4 Ahmed Hegazi, 30 Tahun

Foto: West Bromwich Albion

Buat pemain tegar Fantasy Premier League (FPL) sekitar tahun 2017-2018 yang lalu, anda pastinya mengenali pemain kelahiran Mesir ini. Beraksi bersama West Bromwich Albion, pertahanan yang mempunyai ketinggian 1.93 meter ini antara salah seorang pemain yang wajib ada dalam line-up FPL masing-masing memandangkan harganya yang tidak begitu mahal. 

Ketika ini, Hegazi beraksi bersama kelab berpangkalan di Arab Saudi, Al-Ittihad dan dia antara salah seorang pemain senior menjadi pilihan ketua jurulatih skuad Olimpik Mesir, Shawky Gharieb setelah gagal memanggil Mohamed Salah dan Mohamed Elneny.

Baca: Tiada Nama Salah Dalam Skuad Mesir

#5 Maya Yoshida, 32 Tahun

Foto: FIFA World Cup

Pertahanan tengah kelahiran negara matahari terbit ini juga tidak asing buat peminat saingan EPL. Beraksi bersama Southampton sejak tahun 2012, dia merupakan salah seorang pemain penting di bawah kendalian pengurus Mauricio Pochettino (2012-2014) dan Ronald Koeman (2014-2016). 

Selain dikenali disebabkan beraksi di pentas EPL, Yoshida juga merupakan pemain skuad senior kebangsaan Jepun.  Ketika ini, dia telah berhijrah ke saingan Serie A bersama Sampdoria. Dengan Jepun menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik pada tahun ini, Yoshida pastinya mahu menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukannya muncul juara di tanah air sendiri.

#6 Hwang Ui-jo, 28 Tahun

Foto: Ligue 1

Penyerang Korea ini pernah turun menentang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee semasa di temasya Sukan Asia 2018 yang lalu. Ketika itu, dia diturunkan sebagai penyerang dan digandingkan bersama Hwang Hee-chan untuk berdepan skuad Harimau Muda dalam saingan peringkat kumpulan. Ketika itu, pemain sensasi Tottenham Hotspur, Son Heung-min turut dimasukkan sebagai pemain gantian. 

Nak dijadikan cerita, Harimau Muda berjaya menumpaskan Ui-jo dan rakan-rakannya namun seperti kita sedia maklum, skuad Korea ini muncul pemenang pingat emas di temasya tersebut. Kini, Ui-jo yang beraksi bersama Bordeaux dalam saingan Ligue 1 akan mengemudi pasukannya untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula.

Baca: Korea Senaraikan Sebahagian Skuad Yang Pernah Ditumpaskan Malaysia Tahun 2018

#7 Andre-Pierre Gignac, 35 Tahun

Foto: Ligue 1

Bilakah kali terakhir anda melihat nama penyerang ini bermain bersama skuad kebangsaan Perancis? Untuk makluman anda, kali terakhir Andre-Pierre Gignac beraksi bersama skuad Les Bleus adalah pada tahun 2016.

Disebabkan temasya Sukan Olimpik ini bukanlah satu kejohanan yang termasuk dalam kalendar pertandingan FIFA, kelab-kelab tidak terikat untuk melepaskan pemain mereka bagi beraksi bersama skuad kebangsaan. Disebabkan kekangan tidak dapat memanggil pemain-pemain senior yang lain, Perancis menaruh harapan kepada Gignac yang kini beraksi di Liga Mexico untuk menggempur kubu lawan.  

Baca: Perancis Senaraikan Penyerang Berusia 35 Tahun, Mbappe Disisihkan

#8 Florian Thauvin, 28 Tahun

Foto: Ligue 1

Jikalau Gignac dilihat menyarung jersi Les Bleus kali terakhir pada tahun 2016, seorang lagi pemain lebihan umur yang dibawa oleh skuad Olimpik Perancis adalah Florian Thauvin yang kali terakhir dilihat bermain bersama skuad kebangsaan negaranya pada tahun 2017.

Bertambah menarik, Thauvin yang merupakan pemain sayap adalah rakan sepasukan kepada Gignac dalam pasukan Tigres UANL. Nampaknya Perancis akan mempertaruhkan gandingan dua pemain senior ini untuk mencuba meraih pingat emas dalam acara bola sepak lelaki buat kali kedua dalam sejarah mereka selepas memenangi pertama kali pada edisi 1984. Mampukah mereka? Sama-sama kita saksikan.

#9 Marco Asensio, 25 Tahun

Barangkali pemain tengah atau sayap Sepanyol ini merupakan pemain lebihan umur yang termuda beraksi pada temasya Sukan Olimpik kali ini. 

Asensio bukanlah satu nama yang akan bermula dalam kesebelasan utama Real Madrid secara automatik pada musim lalu. Namun, disebalik tidak banyak beraksi selama 90 minit atau sebagai pemain gantian sahaja, dia tetap berhasil merekodkan 48 penampilan dalam kesemua pertandingan baik domestik mahupun antarabangsa. 

Dipanggil untuk menyertai skuad Olimpik, mampukah Asensio menjelmakan magisnya bersama-sama barisan pemain muda yang beraksi di pentas Euro baru-baru ini untuk merangkul pingat emas di Tokyo? 

Baca: Sepanyol Bariskan Cabellos, Asensio, Merino Serta 6 Pemain Skuad Senior

#10 Dani Alves, 38 Tahun

Memperkenalkan pemain paling tua yang menyertai acara bola sepak lelaki di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Dani Alves! Bekas pertahanan Barcelona, Juventus dan Paris Saint-Germain ini menjadi taruhan skuad Olimpik Brazil untuk membimbing pemain-pemain muda mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada edisi Rio 2016.

Selain daripada misi untuk mempertahankan pingat emas, pertahanan kanan ini pastinya bermotivasi tinggi untuk menambahkan koleksi kemenangannya, memandangkan dia tidak menyertai skuad Olimpik Brazil pada lima tahun lalu. Untuk makluman semua, skuad Olimpik Brazil pada kali ini turut dibarisi dengan pemain-pemain muda yang sangat berbakat malahan berstatus wonderkid. Adakah Alves akan menjadi adunan sempurna untuk skuad ini sekali memenangi pingat emas? Mari kita saksikan.

Baca: Richarlison, Douglas, Martinelli & Dani Alves Perkuatkan Brazil B-23

komen