Artikel

Basikal WX-R Sengaja Diletakkan Harga RM300,000 – Ini ‘Rahsia’ Dikongsikan Azizulhasni Awang

Basikal model WX-R Vorteq yang akan digunakan oleh Datuk Azizulhasni Awang untuk beraksi dalam saingan basikal trek bagi acara keirin dan pecut dalam temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dianggarkan bernilai RM300,000 sebuah.

Difahamkan ia dibina hasil daripada satu projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara Institut Sukan Negara (ISN) bersama syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd yang bernilai RM13 juta.

Harga RM300,000 tersebut mengundang reaksi yang pelbagai termasuk yang mengatakan harga tersebut terlalu mahal dan tidak masuk akan untuk sebuah basikal.

Azizulhasni yang mendapat julukan The Pocket Rocketman menjelaskan pihak projek R&D memang sengaja meletakkan harga sebegitu kerana ingin melindungi dan mengekang pencabar terdekat daripada membeli basikal dan peralatan-peralatan hasil penyelidikan dan pembangunan dilakukan oleh ISN dan TOTALSIM ini.

Hal ini kerana, badan basikal dunia iaitu Union Cycliste Internationale (UCI) telah menetapkan syarat bahawa setiap pasukan yang ingin mengambil bahagian dalam acara berbasikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dibenarkan menggunakan basikal dan peralatan-peralatan yang dibina sendiri menerusi R&D tetapi ianya mesti boleh didapati dan dibeli oleh orang ramai.

https://sukanz.com/2021/07/08/azizul-the-pocket-rocketman-tambah-berat-10kg-untuk-beraksi-di-sukan-olimpik/

“Kita cuba untuk lindungi teknologi basikal itu daripada orang lain menggunakan di (Sukan) Olimpik terutamanya daripada pesaing terdekat kita,

“Sebab kita dah penat-penat invest, buat R&D, takkan kita nak suka-suka bagi orang pakai macam tu je, sebab kita nak bertanding dan nak menang, kalau kita dah menang, takde hal siapa nak pakai basikal tu,

“Itulah sebabnya pihak yang menguruskan projek (R&D) meletakkan harga yang tak masuk akal, yang tinggi, memang sengaja harga diletak tinggi macam tu, 

“Harga itu diletak pada harga yang tinggi supaya tak masuk akal untuk orang beli dan memang harga itu (RM300,000) tak masuk akal, itu sebabnya,” jelasnya dalam satu sesi Instagram Live bersama hos Astro Arena, Irfan Ali.

Selain daripada Malaysia yang mempunyai projek R&D bagi membina basikal sendiri untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik kali ini, terdapat beberapa negara lain yang berbuat demikian.

Antaranya Jerman, Great Britain, Australia, Jepun, Perancis dan banyak lagi. Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini, boleh dikatakan rata-rata kos R&D oleh negara-negara lain adalah jauh lebih besar berbanding Malaysia.

“Ada yang meletakkan harga lebih mahal sedikit daripada harga pasaran dan lebih murah daripada kita tetapi meletakkan syarat pembelian seperti minimum 50 buah tempahan,” kongsinya mengenai taktik yang digunakan oleh negara lain bagi melindungi teknologi basikal mereka digunakan oleh pesaing terdekat.

Untuk makluman semua, projek R&D yang dilakukan oleh ISN dan TOTALSIM ini dimulakan pada tahun 2017.

Anda mahu beli basikal yang digunakan oleh Azizulhasni Awang? Klik WX-R.COM

Tonton penjelasan penuh oleh Datuk Azizulhasni Awang mengenai peraturan yang ditetapkan UCI dan harga tak masuk akal bersama Irfan Ali pada pautan video di bawah:

Featured Image: Azizulhasni Awang Twitter

komen