Artikel

Kelantan FC Sedia Ambil Tindakan Ke Atas Penyiar ‘Live Streaming’ Haram

Pihak Pengurusan Tertinggi TRW Kelantan FC sedia mengambil tindakan yang tegas ke atas penyiar ‘live streaming’ (penstriman langsung) secara haram melibatkan pasukannya di mana-mana platform media sosial pada baki saingan Liga Premier 2021.

Menyiarkan ‘live streaming’ secara haram ini menyebabkan TRW Kelantan FC kerugian dari segi kutipan jualan tiket pay-per-view yang dilakukan sebelum ini. 

Menurut Ketua Bahagian Perundangan, Shairuz Sheffie berkata, langkah itu adalah bertepatan dengan mengambil dalam keadaan semasa yang mana pasukan memerlukan kewangan untuk perbelanjaan pasukan.

“Tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk membuat ‘live streaming’ secara haram kecuali pihak produksi yang telah dilantik oleh pihak kami,” katanya seperti disiarkan oleh laman sosial rasmi TRW Kelantan FC.

Tambahnya lagi, daripada sudut pandang undang-undang, TRW Kelantan FC merupakan pemegang hak milik sah dan eksklusif, atau disebut secara umumnya sebagai proprietory, legal and exclusive rights, berkenaan dengan penyiaran perlawanan melibatkan pasukan TRW Kelantan FC.

Selain itu, hak penyiaran eksklusif dan hak harta intelek adalah berada di bawah kelolaan dan kepentingan khusus TRW Kelantan FC, melainkan kebenaran bertulis diberikan oleh Pihak Pengurusan yang membenarkan pihak ketiga menyiarkan perlawanan melibatkan pasukan TRW Kelantan FC. 

Untuk rekod, pihaknya telah berjaya memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut jumlah kerugian yang dialami oleh TRW Kelantan FC unjuran daripada penyalahgunaan hak dan kepentingan harta intelek dan hak penyiaran TRW Kelantan FC tanpa kebenaran bertulis terhadap individu yang menyiarkan perlawanan melibatkan pasukan Kelantan secara haram dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

komen