Written by 6:43 pm Bola Sepak, Malaysia

Nafuzi: Waspada Ancaman Perak, Usah Selesa Dengan Kemenangan Lalu

Ketua Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menasihatkan anak-anak buahnya berwaspada apabila turun bertemu pasukan yang menduduki tangga kesepuluh Liga Super, Perak FC pada malam esok.

Nafuzi tidak mahu kemenangan-kemenangan yang telah diraih oleh pasukannya sebelum ini menjadikan mereka leka pada perlawanan yang akan berlangsung di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Biarpun mereka dikuatkan dengan kehadiran dua pemain iaitu Lee Tuck dan Habib Haroon, Perak yang dibimbing oleh Chong Yee Fatt turut membawa masuk beberapa muka baharu untuk memperkukuhkan skuad The Bos Gaurus.

Taruhan baharu Terengganu, Habib Haroon

“Kita juga ada pemain baharu, begitu juga dengan Perak yang turut merombak beberapa pemain dan saya yakin mereka lebih bermotivasi kali ini untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Jadi, saya tidak mahu pemain mengambil mudah aksi pada malam esok walaupun kita sekarang di tangga kedua liga, dan apa-apa sahaja boleh berlaku.

“Saya tetap beritahu pemain-pemain saya untuk mereka sentiasa berwaspada dengan setiap ancaman dan tidak boleh selesa dengan kemenangan-kemenangan yang pernah kita raih sebelum ini”, katanya.

Mengimbau perlawanan menentang Perak pada pusingan pertama Liga Super lalu, skuad kendalian Nafuzi ini berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Kedua-dua gol itu dijaringkan oleh Faisal Halim dan Dechi Marcel masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 45 times, 1 visits today)
Close