Artikel

Olimpik 2020: Kuda Sakit Gigi, Atlet Ekuestrian Austria Terpaksa Tarik Diri

Atlet ekuestrian Austria, Victoria Max-Theurer terpaksa menarik diri daripada acara dressage di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Penarikan diri itu dibuat kerana kudanya mengalami sakit gigi sebelum daripada bermulanya acara tersebut, Jumaat lalu.

Al-kisahnya bermula apabila atlet berusia 35 tahun yang dikenali sebagai Vici ini menyedari kudanya, Abegglen NRW berkelakuan aneh dalam sesi latihan.

Selepas melakukan pemeriksaan kesihatan, kudanya yang berusia 11 tahun itu disahkan mengalami jangkitan di gigi.

Walaupun kecewa tidak dapat menunjukkan kemampuannya selepas berlatih selama lima tahun, Vici menegaskan kesihatan kudanya lebih penting berbanding dirinya sendiri. 

Untuk makluman ini sepatutnya menjadi penampilan kelima Vici di pentas Sukan Olimpik. Kali pertama dia beraksi di temasya ini ketika berusia 19 tahun di Athens pada tahun 2004.

Untuk rekod, ibunya, Sissy Max-Thurer juga merupakan atlet ekuestrian dan pernah merangkul pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Moscow 1980.

Sumber: dressage-news.com

komen