Artikel

Bekas Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote Bimbing Skuad Remaja Gergasi Arab Saudi

Setelah sekian lama menyepi tanpa melatih mana-mana pasukan, bekas ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote kini diberikan amanah untuk membimbing skuad remaja kelab gergasi yang berpangkalan di Arab Saudi, Al Hilal.

Menerusi perkongsian di laman sosialnya, jurulatih berusia 44 tahun yang mempunyai lesen kejurulatihan UEFA Pro ini akan memulakan tugasnya di Akademi Al Hilal sebagai ketua jurulatih Al Hilal Bawah 15 Tahun (B-15).

“Sangat berbesar hati dan suka citanya saya ingin mengumumkan menyertai salah sebuah kelab terbesar dan berprestij di Arab Saudi dan Asia.

“Terima kasih Al Hilal dan Akademi Al Hilal atas kepercayaan yang diberikan ke atas saya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga anda.” tulisnya.

Sebagai selingan, Al Hilal merupakan juara liga negara berkenaan sebanyak 17 kali serta pernah merangkul kejuaraan di peringkat asia sebanyak 3 kali.

Untuk makluman semua, Marcote mula menabur bakti bersama Kedah sebagai jurulatih kecergasan pada tahun 2015. Dia merupakan salah seorang daripada staf kejurulatihan di bawah pimpinan Tan Cheng Hoe.

Semasa ketiadaan Cheng Hoe yang menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Marcote pernah diberikan tanggungjawab untuk memangku posisi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning.

Pada penghujung tahun 2017, Marcote secara rasminya dilantik menjadi ketua jurulatih Kedah yang kini dikenali sebagai Kedah Darul Aman. Dia sempat membimbing pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air itu selama beberapa bulan.

Pada penghujung Mac 2018, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melakukan sedikit perubahan di dalam sistem kejurulatihan mereka menyaksikan Marcote diberikan peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

Manakala tugas ketua jurulatih skuad utama Kedah pada masa itu dipangku oleh Nidzam Adzha Yusof.

Featured Image: FA Kedah

komen