Written by 4:39 pm Lain-Lain

Mengapa Atlet Olimpik Gigit Medal Kemenangan Mereka?

Sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakan atlet yang meraih kemenangan pingat emas, perak mahupun gangsa akan bergambar dengan aksi menggigit medal kemenangan mereka di hadapan kamera.

Mengapakah?

Jika ditelusuri kepada sejarah pada zaman lalu, emas mahupun perak digunakan sebagai matawang. Justeru, para pedagang akan menggigit wang emas atau perak yang diterima untuk memastikan ketulenan bahan logam tersebut.

Emas, perak dan gangsa merupakan sejenis logam yang lembut. Sebarang tekanan yang sedikit kuat dikenakan ke atas permukaan logam-logam ini akan meninggalkan kesan lekuk di atasnya.

Berbalik kepada atlet yang menggigit pingat kemenangan mereka tadi, sudah semestinya mereka bukan mahu menentukan samada pingat emas, perak atau gangsa yang diterima itu tulen atau tidak.

Usain Bolt bersama pingat emas Sukan Olimpik yang dimenanginya

Lebih-lebih lagi, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sudah tidak menghadiahkan emas tulen kepada para pemenang temasya sukan tersebut sejak tahun 1912.

Jadi, mengapa mereka masih menggigit pingat kemenangan tersebut?

Jawapannya adalah kerana jurugambar yang menyuruh mereka melakukan ‘pose’ sebegitu.

Presiden International Society of Olympic Historians, David Wallechinsky pernah berkata kepada CNN, “Ia menjadi obsesi jurugambar-jurugambar,”.

“Saya melihat ianya sebagai gambar yang ikonik, sesuatu yang anda boleh jual. Saya tidak rasakan ianya disebabkan oleh atlete yang mahu lakukan sendiri,” katanya lagi.

Shutterbugs juga melihat ‘pose’ gigitan medal sangat berpontensi untuk menghiasi muka depan akhbar-akhbar pada keesokan harinya dan disebabkan itu mereka meminta atlet-atlet melakukannya.

Sehingga kini, ianya menjadi satu tradisi dalam Sukan Olimpik dan kami melihat ianya akan kekal sebegitu pada masa-masa akan datang.

Sumber: Olympics

(Visited 134 times, 1 visits today)
Close