Written by 4:22 pm Lain-Lain

Rekod Pertemuan Aaron-Wooi Yik Menentang Jun Hui-Yu Chen

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menempah tiket ke saingan separuh akhir Sukan Olimpik dengan bergaya selepas menumpaskan regu No.1 dunia dari Indonesia, Marcus Gideon dan Kevin Sakalmunjo, hari ini.

Sementara itu, menanti mereka di peringkat separuh akhir adalah regu No.6 dunia dari China, Li Jun Hui dan Liu Yu Chen yang berjaya menewaskan regu Denmark, Kim Astrup dan Anders Rasmussen juga pada hari ini.

Sebelum kita menyaksikan kedua-dua wakil negara ini turun beraksi di gelanggang yang dijadualkan pada hari Jumaat (30 Julai) pada pukul 6 petang waktu Malaysia, ayuh kita melihat lima rekod pertemuan melibatkan kedua-dua regu ini dalam kejohanan yang terdahulu.

#1 Kejohanan Dunia 2018 (Nanjing, China)

Pertama kali Aaron Chia-Wooi Yik bertemu regu dari China ini adalah pada peringkat suku akhir pada Kejohanan Dunia 2018 yang berlangsung di Nanjing, China. Mereka mara ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan regu Korea (Chung Eui-seok/Kim Dukyoung, Pusingan 1), regu Taiwan (Lee Jhe-heui/Lee Yang, Pusingan 2) dan regu Denmark (Kim Astrup-Anders Rasmussen, Pusingan 3). 

Ketika beraksi pertama kali menentang Jun Hui dan Yu Chen, regu muda negara ini tumpas dua ‘straight set’ dengan mata 14-21 dan 22-24.

#2 Terbuka Singapura 2019

Aaron dan Wooi Yik kembali bertemu regu China ini buat kali kedua dalam karier professional mereka. Kali ini pada pusingan kedua selepas mereka menumpaskan regu China, Liu Cheng-Zhang Nan pada pusingan 1. Bagaimanapun pertemuan kali kedua mereka masih memihak kepada Jun Hui dan Yu Chen dengan kemenangan dua ‘straight set’ iaitu 11-21 dan 19-21.

#3 Piala Sudirman 2019

Masih lagi di tahun 2019 dan gandingan Aaron-Wooi Yik bertemu Jun Hui-Yu Chen buat kali ketiga dalam karier mereka. Kali ini melibatkan kejohanan Piala Sudirman yang berlangsung di Indonesia. Keputusan masih memihak kepada regu China namun kali ini, Aaran dan Wooi Yik memberikan mereka sedikit cabaran dan mengelakkan daripada kalah secara dua ‘straight set’ buat kali ketiga berturut-turut. Keputusan pada masa itu adalah 21-18, 14-21 dan 22-24.

#4 Terbuka Indonesia 2019

Pertemuan keempat dan masih lagi di bumi Indonesia. Kali ini pertemuan antara kedua-dua regu ini seawal di peringkat pusingan pertama. Aaron-Wooi Yik kalah dalam perlawanan yang melibatkan tiga set dengan keputusan 21-19, 15-21 dan 9-21.

#5 Terbuka Hong Kong 2019

Kali terakhir Aaron-Wooi Yik bertemu Jun Hui-Yui Chen adalah pada peringkat suku akhir kejohanan di Hong Kong. Selepas cemerlang menumpaskan regu Indonesia (Ricky-Angga Pratama, Pusingan 1) dan regu Denmark (Kim Astrup-Anders Rasmussen, Pusingan 2), mereka turun berentap menentang regu China ini. Kemenangan masih belum dapat dirasai oleh Aaron-Wooi Yik di mana mereka terpaksa akur tumpas sekali lagi dengan keputusan  17-21, 21-19 dan 21-23.

Rumusan:

Hasil daripada lima pertemuan melibatkan kedua-dua regu ini, Aaron-Wooi Yik tumpas 5-0 kepada Jun Hui-Yu Chen. Menariknya, sedikit peningkatan ditunjukkan oleh Aaron-Wooi Yik daripada ditewaskan secara dua ‘straight set’ dalam dua perlawanan awal kepada memaksa regu China bermain dalam ‘rubber set’ dalam tiga pertemuan terakhir mereka.

Perlu diingatkan, rekod pertemuan lalu tidak menjaminkan kemenangan dan kekalahan dalam perlawanan akan datang. Aaron-Wooi Yik telah menunjukkannya ketika menentang regu No.1 dunia ‘The Minions’ pada peringkat suku akhir.

Berdasarkan rekod, Aaron-Wooi Yik tumpas dalam ketujuh-tujuh perlawanan menentang Marcus-Kevin yang lalu. Akan tetapi regu muda negara ini turun ke gelanggang, beraksi dengan cemerlang dan menumpaskan mereka secara dua ‘straight set’ sekaligus memaksa The Minions mengemaskan beg pakaian meninggalkan Tokyo dan pulang ke Indonesia!

(Visited 766 times, 1 visits today)
Close