Artikel

Koo Kien Keat: Permainan Zii Jia Banyak Peningkatan, Hanya Kekurangan Pengalaman di Kejohanan Besar

Kekalahan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia di tangan juara bertahan, Chen Long pada pusingan 16 di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bukanlah satu kegagalan.

Sebaliknya, bekas regu lelaki No.1 dunia, Koo Kien Keat, berpendapat ianya merupakan satu permulaan buat Zii Jia dalam karier sukan badminton yang masih panjang ke hadapan.

Tambahan pula, Zii Jia bukan sahaja turun menentang Chen Long selaku juara bertahan bahkan sebagai pemain senior yang kaya pengalaman di kejohanan besar peringkat antarabangsa.

Gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pernah menggegarkan pentas antarabangsa suatu masa dahulu – Foto: BWF

“Lee Zii Jia hanya berumur 23 tahun. Perjalanan karier badmintonnya masih panjang, kekalahan ini hanyalah satu permulaan.”

“Bermain menentang Chen Long bukan satu perlawanan yang mudah, itu sebabnya Chen Long satu-satunya juara bertahan (yang belum tersingkir) dalam Tokyo Olimpik kali ini.” 

“Banyak peningkatan yang dapat kita lihat dalam permainan Zii Jia, fizikal dan kekuatan, hanya kekurangan pengalaman di kejohanan besar.” kongsi Kien Keat menerusi laman sosialnya sejurus selepas perlawanan, semalam.

Aksi melibatkan Zii Jia dan Chen Long berlangsung dengan cukup sengit terutamanya pada set pertama dan kedua. Zii Jia memenangi set pertama 21-8.

Bagaimanapun, Chen Long bangkit mencatatkan kemenangan di set kedua 21-19 bagi mengheret Zii Jia ke ‘rubber set’.

Pada set ketiga, Chen Long nyata menunjukkan prestasi di kelasnya yang tersendiri dan menumpaskan Zii Jia tanpa belas kasihan dengan keputusan 21-5.

Walaupun tumpas dan tersingkir di pusingan 16, Kien Keat tetap menghamburkan pujian ke atas Zii Jia dan mengharapkan pemain muda ini dapat menampilkan persembahan yang lebih cemerlang di temasya Olimpik berikutnya. 

“Pujian kepada Lee Zii Jia atas prestasi keseluruhannya dan juga coach Hendrawan. Harap dapat melihat kamu bersinar di Olimpik Paris 2024.” tambah Kien Keat lagi.

Featured Image: Majlis Sukan Negara – Annice Lyn

komen