Written by 5:23 pm Lain-Lain

10 Perkongsian Pingat Emas, Perak & Gangsa di Temasya Sukan Olimpik

Atlet Qatar, Mutaz Essa Barshim dan Itali, Gianmarco Tamberi menjadi bualan peminat sukan apabila kedua-duanya diumumkan berkongsi pingat emas dalam acara lompat tinggi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Alkisahnya terjadi ketika tiada apa yang dapat memisahkan Mutaz, 30 tahun, dan Tamberi, 29 tahun, ketika melakukan lompatan pada ketinggian 2.37 meter. Kedua-duanya cemerlang melepasi ketinggian tersebut.

Maka paras ketinggian dinaikkan kepada 2.39 meter dan melompatlah mereka berdua untuk melepasi ketinggian tersebut. Setelah 3 kali percubaan, Mutaz gagal dalam ketiga-tiga lompatan termasuklah Tamberi.

Di saat itu, pegawai kejohanan datang kepada kedua-dua atlet ini, dan menerangkan dua pilihan kepada mereka berdua iaitu pertamanya, mereka perlu melakukan ‘jump off’ pada ketinggian 2.39 meter bagi menentukan pemenang.

Untuk makluman, ‘jump off’ bermaksud percubaan lompatan yang perlu dilakukan sekali sahaja oleh kedua-dua atlet ini. Sesiapa yang berjaya melepasinya akan dinobatkan sebagai pemenang. 

Belum sempat pegawai tersebut menamatkan penjelasan mengenai pilihan kedua, Mutaz dengan pantas bertanyakan pegawai kejohanan tersebut, “Bolehkah kami mempunyai dua (pingat) emas?” sekaligus membuatkan Tamberi melompat keriangan dan menamatkan saingan tersebut secara rasmi.

Bagaimanapun, perkongsian pingat samada emas, perak atau gangsa pada temasya Sukan Olimpik ini bukanlah sesuatu yang asing. Di sini, kami senaraikan 10 perkongsian pingat yang pernah terjadi ketika edisi Olimpik 2008, 2012 dan 2016:

#1 Sherone Simpson / Kerron Stewart (Jamaica)

Kedua-dua atlet Jamaica, Sherone dan Kerron bersama-sama melintasi garisan akhir acara 100m wanita

Temasya: Sukan Olimpik Beijing 2008

Acara: Pecut 100m Wanita

Pingat Yang Dikongsi: Perak

Kami mulakan kisah mengenai perkongsian pingat di temasya Olimpik dengan kisah Sheron dan Kerron. Dalam acara fina 100 meter wanita di Beijing 2008, kedua-dua pelari Jamaica ini menamatkan larian dengan catatan masa 10.979 saat. Setelah dibundarkan ianya menjadi 10.98 saat. Dengan tiada apa yang memisahkan kedua-dua pelari ini, Sherone dan Kerron diberikan pingat perak manakala tiada pingat gangsa diberikan.

#2 Jason Lezak (Amerika Syarikat) / Cezar Cielo (Brazil)

Jason Lezak (paling kanan) dan Cezar Cielo (dua dari kanan) bersama pingat gangsa masing-masing.

Temasya: Sukan Olimpik Beijing 2008

Acara: Renang 100m Gaya Bebas Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Gangsa

Dalam acara renang 100m gaya bebas kategori lelaki, perenang Amerika Syarikat dan Brazil masing-masing menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 47.67 saat. Catatan masa yang sama ini memberikan kedua-dua perenang ini berkongsi pingat gangsa. Sementara itu, pingat emas dan perak dimenangi oleh Alain Bernard (Perancis) dan Eamon Sullivan (Australia).

#3 Arkady Vyatchanin (Rusia) / Hayden Stoeckel (Australia) 

Hayden Stoeckel (dua dari kanan) dan Arkady Vyatchanin (paling kanan).

Temasya: Sukan Olimpik Beijing 2008

Acara: Renang 100m Kuak Lentang Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Gangsa

Masih lagi dalam acara renang di saingan Olimpik 2008. Namun, kali ini melibatkan perenang Rusia dan Australia dalam acara 100m kuak lentang. Arkady dan Hayden meraih pingat gangsa setelah berkongsi catatan masa 53.18 saat. Bagi pemenang pingat emas dan perak, kedua-dua dari Amerika Syarikat iaitu Aaron Peirsol (52.54 saat, rekod dunia dan olimpik baharu) dan Matthew Grevers (53.11 saat).

#4 Mutaz Essa Barshim (Qatar) / Derek Drouin (Canada) / Robert Grabarz (Great Britain)

Gambar paling ‘rare’ di temasya Olimpik? Lima orang menaiki podium.

Temasya: Sukan Olimpik London 2012

Acara: Lompat Tinggi Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Gangsa

Kenal nama pertama yang ditulis di atas? Ya, dia merupakan atlet yang sama-sama memenangi pingat emas bersama atlet Itali, Gianmarco Tamberi, semalam. Sekitar sembilan tahun yang lalu, Mutaz sudah mempunyai pengalaman berkongsi pingat di temasya Olimpik. Menariknya, ketika itu, seramai tiga orang atlet berkongsi pingat gangsa selepas merekodkan ketinggian 2.29 meter. 

Untuk makluman, pada Februari 2019, pemenang pingat emas, Ivan Ukhov dari Rusia dibatalkan kemenangannya ekoran perlanggaran undang-undang ‘anti-doping’.

#5 Simon van Velthooven (New Zealand) / Teun Mulder (Belanda)

Enam pelumba yang beraksi di pentas final Keirin Lelaki pada temasya London 2012.

Temasya: Sukan Olimpik London 2012

Acara: Basikal Trek Keirin Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Gangsa

Masih lagi di temasya London 2012 namun kali ini perkongsian pingat berlaku dalam acara keirin lelaki dalam sukan berbasikal trek. Simon dan Teun membawa pulang gangsa setelah tayar hadapan basikal mereka melintasi garisan pemamat pada pusingan akhir secara bersama-sama. Untuk makluman, pada ketika ini, pelumba negara, Azizulhasni Awang menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

#6 Sun Yang (China) / Park Tae-Hwan (Republik Korea)

Sun Yang dan Park Tae-hwan berjabat tangan ketika acara penyampaian pingat.

Temasya: Sukan Olimpik London 2012

Acara: Renang 200m Gaya Bebas Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Perak

Kali ini kisah perkongsian pingat berlaku dalam acara renang di Sukan Olimpik London 2012 pula. Perenang China, Sun Yang dan Korea, Park Tae-hwan menamatkan renangan pada masa yang sama iaitu 1:44.93 sekaligus menyaksikan kedua-duanya membawa pulang pingat perak. Sementara itu, pingat emas dibawa pulang oleh perenang Perancis, Yannick Agnel manakala tiada pingat gangsa diberikan.

#7 Chad de Clos (Afrika Selatan) / Yevgeny Korotyshkin (Rusia)

Temasya: Sukan Olimpik London 2012

Acara: Renang 100m Kuak Kupu-Kupu Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Perak

Kejadian berkongsi pingat masih lagi dalam acara renang pada temasya yang sama. Kali ini melibatkan Chad de Clos dan Yevgeny Korotyshkin dalam acara 100m kuak kupu-kupu. Kedua-duanya menamatkan renangan dengan catatan masa 51.44 saat. Pemenang pingat emas adalah Michael Phelps dari Amerik Syarikat dan tiada pingat gangsa diberikan.

#8 Michael Phelps (Amerika Syarikat) / Chad de Clos (Afrika Selatan) / Laszlo Cseh (Hungary)

Michael Phelps (paling kiri), Laszlo Cseh (kedua kiri) dan Chad de Clos (paling kanan).

Temasya: Sukan Olimpik Rio 2016

Acara: Renang 100m Kuak Kupu-Kupu Lelaki

Pingat Yang Dikongsi: Perak

Kali ini kita ke edisi Sukan Olimpik berikutnya iaitu Rio 2016. Perkongsian pingat kemenangan masih lagi berlaku di kolam renang dan kali ini melibatkan acara 100m kuak kupu-kupu lelaki. Tiga orang perenang, Phelps, Chad de Clos dan Laszlo terpaksa berkongsi pingat perak selepas kesemua mereka berkongsi catatan masa 51.14 saat. Di temasya ini, perenang negara jiran tetangga, Singapura iaitu Joseph Schooling mencipta kejutan dengan meraih emas.

#9 Simone Manuel (Amerika Syarikat) / Penny Oleksiak (Kanada)

Simone (kiri) dan Penny (kanan) bersama pingat emas.

Temasya: Sukan Olimpik Rio 2016

Acara: Renang 100m Gaya Bebas Wanita

Pingat Yang Dikongsi: Emas

Perkongsian pingat kali ini melibatkan perenang wanita untuk kilauan emas. Simone dan Penny menamatkan renangan 100 meter gaya bebas dengan cemerlang dan mencatatkan masa yang sama iaitu 52.07 saat. Tiada pingat perak diberikan manakala pingat gangsa dimenangi oleh perenang Sweden, Sarah Sjostrom.

#10 Kylie Masse (Kanada) / Fu Yuanhui (China)

Fu Yuanhui (paling kiri) dan Kylie Masse (dua dari kiri) bersama pingat gangsa.

Temasya: Sukan Olimpik Rio 2016

Acara: Renang 100m Kuak Lentang Wanita

Pingat Yang Dikongsi: Gangsa

Acara renang di Rio 2016 menyaksikan sekali lagi perkongsian pingat berlaku di kolam renang. Kali ini dalam acara 100 meter kuak lentang wanita. Kylie dan Yuanhui berkongsi pingat gangsa setelah menamatkan renangan dengan catatan masa yang sama iaitu 58.76 saat. Pada acara ini, pingat emas dimenangi oleh Katinka Hosszu (Hungary) dan pingat perak dibawa pulang oleh Kathleen Baker (Amerika Syarikat).

Featured Image: World Athletics

(Visited 1,096 times, 1 visits today)
Close