Written by 7:52 pm Lain-Lain

Olimpik 2020: Tiada Kejutan Daripada Atlet Guatemala, Anthony Ginting Raih Gangsa Buat Indonesia

Tiada kejutan dilakukan oleh pemain badminton perseorangan lelaki Guatemala, Kevin Cordon dalam perlawanan perebutan pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Cordon yang berada di ranking ke-59 dunia terpaksa akur dengan kehebatan pemain muda Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting yang menumpaskannya dengan mudah secara dua ‘straight set’.

Ginting yang menduduki ranking ke-5 dunia memenangi set pertama 21-11 sebelum menamatkan set kedua dengan mata 21-13.

Untuk makluman semua, Cordon yang mewakili Guatemala – sebuah negara bukan ‘powerhouse’ dalam sukan badminton – mencipta kejutan menumpaskan pemain no.29 dunia, Mark Caljouw (Belanda) di pusingan 16 dan no.28 dunia, Heo Kwang-hee (Korea) di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, kisah dongengnya di dalam acara badminton perseorangan lelaki di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tamat di peringkat separuh akhir apabila tumpas kepada pemain no.2 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark. 

Sementara itu, kejayaan Ginting memungut pingat gangsa pada hari ini menjadikan Kontinjen Indonesia telah mengutip lima pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 setakat ini.

(Visited 127 times, 1 visits today)
Close