Artikel

Emma McKeon Raih Tujuh Pingat – Wanita Kedua Menangi Medal Terbanyak Pada Satu Sukan Olimpik

Perenang Australia, Emma McKeon menempa sejarah sebagai wanita kedua yang memenangi pingat terbanyak dalam satu temasya Sukan Olimpik.

Emma, 27 tahun, membawa pulang tujuh pingat daripada temasya Tokyo 2020 setelah memenangi empat emas dalam acara 50m gaya bebas, 100m gaya bebas, 4x100m gaya bebas dan 4x100m rampaian.

Manakala baki tiga acara iaitu 100m kuak kupu-kupu, 4x200m gaya bebas dan 4x100m rampaian campuran pula memberikannya pingat gangsa.

Keseluruhan tujuh pingat yang dimenanginya ini meletakkan Emma menyamai rekod yang dicipta oleh atlet gimnastik Soviet Union, Maria Gorokhovskaya yang turut mengutip tujuh pingat ketika beraksi di temasya Sukan Olimpik Helsinki 1952.

Emma turut menyertai temasya Sukan Olimpik Rio 2016. Di temasya tersebut, perenang kelahiran Wollongong ini telah meraih empat pingat menerusi acara 4x100m gaya bebas, 4x200m gaya bebas, 4x100m rampaian dan 200m gaya bebas.

Secara keseluruhan, Emma telah mengumpul 11 pingat di temasya Sukan Olimpik. Ini menjadikan Emma sebagai atlet Australia yang meraih pingat Olimpik paling banyak mengatasi bekas perenang lelaki, Ian Thorpe dan bekas perenang wanita, Leisel Jones yang memiliki 9 pingat masing-masing.

Featured Image: FINA

komen