Written by 9:43 pm Bola Sepak, Malaysia

Empat Legenda Harimau Malaya Sertai FIFA Century Club

Empat pemain legenda skuad bola sepak kebangsaan diisytihar sebagai ahli baharu FIFA Century Club atau Kelab Abad FIFA.

Perkara tersebut diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini setelah disampaikan sendiri oleh badan induk, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Empat pemain legenda skuad kebangsaan tersebut ialah Datuk Soh Chin Ann, Zainal Abdin Hassan, mendiang Dato’ M. Chandran dan Dato’ Santokh Singh.

Selain itu, makluman tersebut turut mengesahkan Chin Ann sebagai pemilik caps antarabangsa terbanyak dengan 195 caps sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Difahamkan FAM mencatatkan penampilan Chin Ann berjumlah 252 caps secara keseluruhan namun FIFA hanya mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Terdahulu tiga legenda – Dato’ Abdul Shukor Salleh, Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari dan mendiang Datuk R. Arumugam – diberi pengiktirafan menganggotai FIFA Century Club.

Untuk pengetahuan semua, FIFA Century Club merupakan satu pengiktirafan kepada pemain-pemain yang mencatatkan 100 penampilan atau lebih di peringkat antarabangsa. Ianya berdasarkan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama RSSSF.

Berikut adalah senarai ketujuh-tujuh pemain legenda yang menyertai FIFA Century Club

1. Datuk Soh Chin Ann – 195 caps

2. Dato’ Abdul Shukor Salleh – 163 caps

3. Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari – 138 caps

4. Mendiang Datuk R. Arumugam – 131 caps

5. Zainal Abidin Hassan – 116 caps

6. Mendiang Dato’ M. Chandran – 115 caps

7. Dato’ Santokh Singh – 100 caps

Featured Image: FAM

(Visited 171 times, 1 visits today)
Close