Written by 4:32 pm Bola Sepak, Eropah

Ronald Koeman: Pemain-Pemain Muda Merupakan Masa Hadapan Kelab Hebat Ini

Disebalik pengumuman perpisahan antara penyerang prolifik, Lionel Messi dan FC Barcelona jumaat lalu, ketua jurulatihnya, Ronald Koeman tetap melahirkan keyakinan bahawa gergasi Catalan itu akan memberikan keterujaan kepada para penyokong untuk mengharungi saingan musim 2021-22 kali ini.

Keyakinan itu diluahkan selepas membimbing Barcelona memenangi kejohanan pramusim, Piala Joan Gamper 2021 dengan menumpaskan gergasi Itali, Juventus 3-0, awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Dalam perlawanan tersebut, Koeman membariskan beberapa pemain muda yang dilihat bakal mengisi kesebelasan utama skuad Blaugrana untuk menghadapi saingan baharu yang akan bermula hujung minggu ini.

Antara pemain-pemain muda yang beraksi membantu kemenangan Barcelona awal pagi tadi ialah Alex Collado (22 tahun), Riqui Puig (21 tahun), Nicolas Gonzalez Iglesias (19 tahun), Yusuf Demir (18 tahun), Alejandro Balde Martinez (18 tahun).

“Walaupun Messi mengucapkan selamat tinggal (kepada Barcelona), kami sangat teruja dengan musim ini. 

“Kami berkeyakinan akan memberikan anda kegembiraan pada musim ini.

“Pemain-pemain muda merupakan masa hadapan untuk kelab hebat ini.” katanya dalam sidang media selepas perlawanan seperti dipetik daripada Goal.

Jendela perpindahan kali ini menyaksikan Barcelona mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Eric Garcia, Memphis Depay dan Sergio Aguero. 

Sementara itu, pemergian Messi meninggalkan Barcelona menyaksikan lilitan kapten diberikan kepada pemain tengah senior, Sergio Busquets bermula musim ini.  

(Visited 50 times, 1 visits today)
Close