Written by 7:01 pm Lain-Lain • One Comment

3 Kejohanan Besar Menanti Pemain Badminton Selepas Sukan Olimpik

Selepas berlangsung lebih dua minggu, temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada Ahad lalu.

Bagi sukan badminton, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah menyenaraikan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) bagi mewakili Malaysia dalam acara masing-masing.

Persembahan paling mencuri tumpuan dan di luar jangkaan adalah daripada pasangan regu lelaki, Aaron-Wooi Yik yang mara sehingga ke peringkat separuh akhir dan berjaya menumpaskan dua pasangan regu terbaik dunia sehingga berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Persembahan ZiI Jia juga tidak kurang hebatnya walaupun terpaksa akur tumpas kepada kepada juara bertahan, Chen Long di peringkat suku akhir.

Bagi yang ingin melihat dan meneruskan sokongan kepada atlet-atlet badminton negara, berikut adalah tiga kejohanan utama (Major Championships/Grade 1) anjuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang akan disertai pada baki tahun ini.

#1 Piala Sudirman 2021

Tarikh: 26 September – 3 Oktober 2021

Tuan Rumah: Vantaa, Finland

Kejohanan utama selepas Sukan Olimpik yang akan dihadapi oleh atlet-atlet badminton negara adalah Piala Sudirman 2021. Ia merupakan sebuah kejohanan campuran dunia yang diadakan setiap dua tahun sekali. Setiap negara yang layak akan diwakili oleh 1 orang pemain lelaki dan wanita, sepasang regu lelaki dan wanita serta sepasang regu campuran. 

Pada setiap pusingan, setiap wakil daripada negara masing-masing akan berentap (perseorangan lelaki vs perseorangan lelaki, beregu lelaki vs beregu lelaki dan dan lain-lain) untuk mara ke pusingan akhir. Sebagai rekod, Piala Sudirman 2019 menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat suku akhir selepas tumpas 3-0 kepada Jepun. 

#2 Piala Thomas & Uber 2020

Tarikh: 9 – 17 Oktober

Tuan Rumah: Aarhus, Denmark

Kejohanan yang sepatutnya dilangsungkan pada tahun lalu, namun ditunda ekoran pandemik Covid-19. Selang dua minggu kemudian, atlet-atlet badminton negara akan menghadapi satu lagi kejohanan utama iaitu Piala Thomas & Uber 2020. Untuk makluman semua, Piala Thomas merupakan kejohanan campuran untuk lelaki manakala Piala Uber merupakan kejohanan campuran untuk wanita. Kejohanan ini turut diadakan secara dwitahunan.

Bagi setiap kejohanan, sebagai contoh Piala Thomas, setiap negara akan diwakili oleh 3 pemain perseorangan lelaki dan dua pasangan regu lelaki. Pada setiap pusingan, setiap wakil perseorangan atau regu akan menghadapi lawan masing-masing untuk mara sejauh mungkin. Begitu juga formatnya untuk Piala Uber melibatkan wanita.

Untuk rekod, pada saingan Piala Thomas 2018, Malaysia yang pada ketika itu diwakili oleh Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Aaron Chia-Teo Ee Yi terkandas di peringkat suku akhir setelah tumpas 3-1 kepada Indonesia.

Sementara itu, bagi Piala Uber 2018, Malaysia terkandas di peringkat kumpulan.

#3 Kejohanan Dunia BWF 2021

Tarikh: 12-19 Disember

Tuan Rumah: Huelva, Sepanyol

Ini merupakan kejohanan terbesar dalam sukan badminton. Pemenang bagi kejohanan ini akan dinobatkan selaku Juara Dunia dan diberikan pingat emas. 

Sebanyak lima acara dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran. Untuk rekod, sejak dipertandingkan pada tahun 1977, tiada seorang pemain atau regu dari Malaysia yang pernah merangkul Juara Dunia ini. 

Bekas pemain perseorangan negara, Lee Chong Wei pernah meraih pingat perak pada tahun 2011, 2013 dan 2015.

Bagi acara beregu lelaki, pasangan Jalani Sidek-Razif Sidek (1987), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1997) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010) turut merangkul pingat perak.

(Visited 245 times, 1 visits today)
Close