Written by 11:31 am Lain-Lain • One Comment

Acara Silat Bakal Ke Sukan Olimpik

Seni pertahanan diri, silat berkemungkinan menjadi salah satu daripada acara yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 atau Brisbane 2032.

Hal ini selepas silat telah melepasi dua kriteria penting bagi membolehkan sesuatu sukan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dipertandingkan di temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.

Perkembangan ini dikongsikan sendiri oleh Setiausaha Teknikal Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Kamarul Ariffin A. Latib menerusi laman sosial organisasi terbabit.

“Syarat atau kriteria (buat) satu-satu sukan untuk masuk ke dalam Sukan Olimpik sangat ketat. Antaranya adalah sukan tersebut mesti dimainkan di 65 buah negara di 5 buah benua seluruh dunia.”

“Syarat kedua, sukan tersebut mesti dipelawa untuk buat demonstrasi di Sukan Olimpik.”

“Dan syarat ketiga, selepas demonstrasi itu berjaya, sukan terbabit harus menunggu antara 4 ke 8 tahun bersamaan 2 kali penganjuran Sukan Olimpik untuk benar-benar bersedia untuk menyertai kejohanan sukan terbesar dunia itu.” jelasnya.

“Setakat hari ni, Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah sahkan bahawa telah ada 90 negara yang ada Persatuan Silat berdaftar di negara terbabit. Lepas syarat pertama.

“IOC juga telah meminta PERSILAT, untuk bersedia membuat demonstrasi di Olimpik Paris 2024. Lepas syarat kedua.

“Jika anggaran waktu 4 ke 8 tahun selepas demonstrasi bermakna, Silat akan bertempat di Olimpik sekitar tahun 2028 atau 2032.” tambahnya lagi.

Untuk makluman semua, setakat ini terdapat enam acara seni pertahanan diri atau sukan tempur yang telah dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik.

Antaranya tinju, lawan pedang, judo, karate, taekwondo dan gusti. Difahamkan, Sukan Olimpik Paris 2024 bakal menyaksikan muay thai akan membuat kemunculannya.

“Taekwondo sudah bermula 1996, setelah diterima 1988. Karate sudah bermula tahun ini, setelah diterima 2012. Maka untuk silat masuk Olimpik tidaklah mustahil.” katanya lagi.

Featured Image: SUKMA Perak 2018

(Visited 552 times, 1 visits today)
Close