Written by 5:04 pm Malaysia

Paulo Josue: Ini Musim Terbaik Yang Pernah Dilalui Bersama Kuala Lumpur

Setelah melalui pelbagai detik jatuh bangun bersama Kuala Lumpur City FC sejak lima musim lalu, Paulo Josue mengakui tahun 2021 bakal menjadi saat terbaik buat pasukannya selepas berjaya menempatkan diri di tangga keenam Liga Super.

Biarpun pernah melalui pengalaman membawa KL City muncul juara Liga Premier pada musim 2017 serta dapat mengekalkan slot pada musim berikutnya tetapi inilah kali pertama dia dapat melihat kestabilan pada prestasi pasukan.

Malah kehadiran ramai berkualiti telah membantu pasukan selain kekuatan di bahagian pertahanan menjadi tunjang di sebalik kejayaan meraih banyak mata penting terutama di laman sendiri yang memperlihatkan mereka masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan.

“Musim ini boleh saya katakan pihak pengurusan lebih bijak dalam pencarian pemain malah mendapatkan seorang jurulatih (Bojan Hodak) yang begitu berpengalaman mengenai Liga Malaysia.

“Dia mengetahui banyak maklumat tentang pemain-pemain dari pasukan lain serta jangkaan strategi dan ini memberikan kelebihan tambahan kepada kami.

“Biarpun kami beraksi tanpa penyerang dalam kebanyakan perlawanan, saya tetap rasakan ini adalah musim terbaik yang pernah dilalui dengan pasukan.

“Sebelum ini pada musim 2018 saya rasa kami miliki skuad yang baik namun tidak begitu seimbang kerana walaupun berjaya menjaringkan banyak gol namun dalam masa kami dibolosi dengan angka yang tinggi.

“Kekuatan di bahagian pertahanan turut menjadi salah satu faktor kenapa kami mampu berada di tahap ini dan malah saya rasakan benteng pasukan KL City antara terbaik di dalam liga pada masa sekarang,” katanya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Kuala Lumpur di Liga Super yang bermula pada 2004 sebelum dijenamakan kepada KL City FC ialah mendapat tempat kesembilan pada musim 2010.

Untuk makluman semua, pemain tengah kelahiran Brazil ini mula menyertai skuad ibu kota ini pada musim 2017.

Featured Image: MFL

(Visited 52 times, 1 visits today)
Close