Written by 6:43 pm Lain-Lain • One Comment

Kerajaan Melaka Hadiahkan Aaron Chia RM50,000

Kerajaan Negeri Melaka menghadiahkan atlet regu badminton lelaki negara, Aaron Chia wang tunai berjumlah RM50,000 di atas pencapaiannya memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik, baru-baru ini.

Selain daripada itu, kerajaan negeri turut memberikan atlet kelahiran Melaka tersebut wang saguhati berjumlah RM3,000 di atas penyertaannya dalam temasya tersebut.

Hadiah dan wang saguhati tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri dan Exco NGO, Pembangunan Sukan dan Belia Negeri Melaka.

“Wira kebanggaan Negeri Melaka, Aaron Chia mendapat hadiah insentif kemenangan sebanyak RM50,000 di atas kemenangan beliau meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain wang saguhati RM3,000 sumbangan Kerajaan Negeri Melaka.” kongsi YAB Datuk Seri Sulaiman Md Ali menerusi laman sosialnya.

Selain hadiah dan wang saguhati tersebut, YDP Negeri Melaka sendiri turut berbesar hati menyampaikan seutas jam tangan khas kepada atlet berusia 24 tahun tersebut. 

Sementara itu, dua orang lagi atlet badminton kelahiran Negeri Melaka, Goh Liu Ying dan Lee Meng Yean turut menerima wang saguhati RM3,000 masing-masing.

“Pemberian insentif ini diharapkan dapat menaikkan lagi semangat semua atlet kelahiran Negeri Melaka untuk terus berjuang serta mengharumkan nama Malaysia khususnya negeri Melaka tercinta ini di peringkat antarabangsa.” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Aaron Chia bersama-sama rakan gandingannya, Soh Wooi Yik berjaya membawa pulang pingat gangsa daripada acara badminton beregu lelaki selepas menumpaskan regu nombor 2 dunia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada perlawanan penentuan pingat gangsa pada 31 Julai lalu.

Featured Image: Facebook Sulaiman Md Ali

(Visited 104 times, 1 visits today)
Close