Artikel

Kewangan JDT Tidak Kukuh Untuk ‘Ikat’ Radamel Falcao – Martin Prest

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berada dalam keadaan kewangan yang kukuh untuk menandatangani ‘marquee player’ seperti Radamel Falcao.

Keadaan kewangan terbabit disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun 2020 yang lalu, demikian penjelasan daripada Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.

Baru-baru ini, sebuah portal sukan yang berpangkalan di Turki mendedahkan skuad Harimau Selatan membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat bekas penyerang Manchester United dan Chelsea tersebut bagi beraksi di Liga Malaysia.

Menerusi satu makluman oleh Martin menerusi laman sosial kelab pada hari ini, beliau turut menegaskan bahawa berita tersebut hanyalah bersifat khabar angin semata-mata.

Akan tetapi, Martin berkeyakinan kedudukan kewangan kelab akan berada pada tahap yang lebih baik dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Pada ketika itu, pemain-pemain sebegitu mampu diikat oleh pasukan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut tersebut.

“Kami perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan ketika ini dan memberikan keutamaan kepada infrastruktur yang boleh membawa kebaikan kepada pembangunan.” jelasnya lagi.

Untuk rekod, JDT pernah mengikat pemain berstatus ‘marquee player’ pada awal kemunculan kelab sekitar tahun 2012 hingga 2014.

Antaranya bekas penyerang Sepanyol, Dani Guiza dan bekas pemain tengah menyerang Argentina, Pablo Aimar.

Featured Image: Manchester United

komen