Artikel

Morales Akui Masih ‘Bergelut’ Untuk Beraksi Sebagai Penyerang

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Romel Morales mengakui masih dalam fasa menyesuaikan diri beraksi di posisi penyerang dalam usaha membantu pasukan menjelang perlawanan Liga Super berdepan Sri Pahang FC, esok.

Meskipun agak bergelut, Morales tetap berusaha keras untuk memastikan pasukan tidak kehilangan mata apatah lagi Sri Pahang mempunyai pemain import yang mampu beri ancaman besar kepada mereka dalam aksi pada malam esok.

“Saya rasa ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik di mana kami tetap menghormati Sri Pahang dan cukup penting untuk kami dapatkan tiga mata.

“Kami tidak pernah tewas lagi dalam lapan perlawanan terdahulu, dan sememangnya kami nak kekalkan prestasi sedemikian dan tidak mahu berdepan kekalahan yang sia-sia.

“Cuma untuk diri saya, rasanya semua tahu bagaimana bukannya mudah untuk saya apabila perlu belajar untuk menjadi seorang penyerang dan apatah lagi saya tidak pernah lagi beraksi di posisi itu sebelum ini.

“Cuma musim ini, memang nasib agak kurang baik apabila pasukan perlu berdepan kecederaan yang melanda penyerang-penyerang dan sekarang menjadi tugas saya untuk cuba beraksi dengan lebih baik di posisi itu,” jelasnya.

Morales ketika ini kembali diberi kepercayaan untuk diletakkan selaku penyerang selepas KL City kehilangan penyerang import baharu, Kyrian Nwabueze susulan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada bulan lalu.

Sebelum ini, kudrat pemain tengah kelahiran Colombia turut menjadi taruhan ketua jurulatih, Bojan Hodak di posisi serangan apabila penyerang Mauritania, Dominique da Sylva mengalami kecederaan pada awal musim.

Featured Image: KL City

komen