Written by 3:55 pm Lain-Lain

Penubuhan ‘Persatuan Sepak Takraw’ Baharu Tidak Diteruskan

Cadangan penubuhan badan induk sepak takraw baharu tanah air yang dikenali sebagai ‘Gabungan Sepaktakraw Malaysia (GSM)’ tidak lagi berbangkit dan tidak diteruskan.

Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Pesuruhjaya Sukan (PJS) menerusi satu muat naik menerusi laman sosial rasmi Kementerian Belia dan Sukan, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh PJS.

Untuk makluman semua, cadangan penubuhan badan induk baharu sukan tersebut untuk menggantikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) digerakkan oleh kumpulan yang dikenali sebagai G11.

G11 merupakan 11 ahli gabungan yang mengumumkan keluar daripada PSM setelah PSM disingkirkan daripada ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) pada Mei lalu.

Baca: PSM Disingkirkan Daripada Ahli Gabungan ASTAF

Bagaimanapun, penubuhan tersebut tidak diteruskan selepas PJS mengadakan beberapa siri perbincangan dan rundingan bersama PSM dan wakil G11 mengenai langkah-langkah pemulihan PSM, termasuklah membuat semakan dan pindaan perlembagaan PSM.

Tindakan yang dilakukan oleh PJS itu juga hasil saranan mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican supaya PSM dipulihkan dengan membuat penambahbaikan.

“PJS diberi amanah untuk menerajui semakan semula Perlembagaan PSM. Dua sesi rundingan bersama PSM dan wakil G11 diadakan pada 17 dan 28 Jun lalu bagi memperkemas dan menambah baik Perlembagaan PSM.

“Rundingan tersebut berjalan lancar dalam suasana amat harmoni. Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk melakukan pembaharuan demi kepentingan dan kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw,” demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh PJS.

Draf akhir Perlembagaan PSM yang baharu juga telah dikemukakan dan secara dasarnya dipersetujui oleh PSM dan wakil G11.

Justeru, PSM disarankan untuk mengambil tindakan selanjutnya supaya draf akhir Perlembagaan PSM yang baharu dibentangkan dan diperakukan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

(Visited 78 times, 1 visits today)
Close