Written by 12:21 pm Bola Sepak, Malaysia

Gagal Temui Pengganti Yang Mempunyai Lesen Pro, Perak Kembali Guna Khidmat Yee Fatt

Perak FC membuat ‘pusingan-u’ dengan mengekalkan khidmat ketua jurulatih, Chong Yee Fatt untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2021.

Sebelum ini, Yee Fatt direhatkan selama 14 hari oleh Perak susulan kemerosotan prestasi yang melanda skuad yang terkenal dengan julukan The Bos Gaurus.

Dan tugas tersebut dipangku oleh penolong ketua jurulatih Perak FC, Mohd Shahril Nizam Khalil bermula daripada 3 Ogos lalu menentang Penang FC. 

Bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh mengesahkan pasukan tersebut akan kembali menggunakan khidmat Yee Fatt ekoran kegagalan menemui calon sesuai yang mempunyai lesen kejurulatihan Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menggantikannya.

“Kita juga telah maklumkan keputusan ini kepada dia dalam perbincangan pada 16 Ogos yang lalu di pejabat Perak FC,” kata Azman Noh.

Untuk makluman semua, lesen kejurulatihan Pro Diploma AFC merupakan syarat wajib yang perlu dimiliki oleh setiap ketua jurulatih pasukan Liga Super sepertimana yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).

Sementara itu, Azman turut mengharapkan Yee Fatt dapat melakukan ‘magis’ dalam baki tiga perlawanan Liga Super untuk mengelakkan Perak daripada terhumban ke saingan Liga Premier 2022.

Baki tiga perlawanan tersebut, mereka akan bertemu Kedah (28 Ogos), Melaka United (9 September) dan Sabah (12 September). 

“Misi kekal dalam liga ini memang sukar pada ketika ini, tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan jika semua pihak kekal positif dalam merencana strategi,” katanya lagi.

Ketika ini, Perak sedang berada di zon penyingkiran iaitu menduduki tangga ke-11 Liga Super selepas mengharungi 19 perlawanan.

Di tangga ke-9 dan ke-10 adalah pasukan Melaka United dan Sri Pahang yang mengumpul 17 mata masing-masing.

Featured Image: Perak FC

(Visited 132 times, 1 visits today)
Close