Artikel

Wajah Baharu Stadium Shah Alam Dijangka Telan Belanja RM350 Juta

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Stadium Shah Alam bakal berwajah baharu apabila kerja naik taraf stadium tersebut akan bermula pada tahun hadapan.

Menurutnya lagi, kos untuk membaik pulih keseluruhan kompleks stadium yang turut menjadi gelanggang utama (Home) bagi skuad The Red Giants itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambahnya lagi, proses tersebut termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

“Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya, penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.

“Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya,” katanya dalam program bual bicara Tiga Talk seperti dilaporkan oleh portal Selangorkini.

Untuk makluman semua, stadium yang mempunyai kapasiti sekitar 80,000 tempat duduk itu tidak dapat digunakan pada waktu ini ekoran kerosakan pada struktur bumbung.

Disebabkan itu, skuad The Red Giants menukar Home mereka kepada Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Sebagai tambahan, stadium serba guna ini dirasmikan pada tahun 1994. Ia mula dibina pada tahun 1990 dengan mengambil inspirasi daripada reka bentuk Stadium Hajduk Split di Croatia.

komen