Written by 11:15 am Bola Sepak, Eropah • One Comment

Khabib ‘Nasihat’ Rakannya, Cristiano Berhijrah Tetapi Elakkan Sertai PSG

Ramai sedia maklum akan hubungan baik antara legenda UFC, Khabib Nurmagomedov dan bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.

Perkembangan karier bola sepak penyerang kelahiran Portugal itu turut diikuti rapat oleh Khabib dari semasa ke semasa.

Terbaru, menerusi satu temu bual, Khabib berpandangan Cristiano seharusnya meninggalkan kelab semasanya, Juventus dan berhijrah ke pasukan lain.

Bagaimanapun, Khabib menyarankan rakannya itu untuk mengelak daripada menyertai Paris Saint-Germain (PSG) dan sebaiknya kembali beraksi di England.

“Pada pandangan saya, ia lebih baik jikalau Cristiano menukar pasukan. Penyokong Juventus jangan terasa (dengan pandangan ini).”

“PSG? Jangan, mereka sudah mempunyai bintang-bintang mereka yang mencukupi.”

“Jika dia berpindah ke England pada penghujung kariernya, saya sendiri berasa tertarik.” katanya kepada Match TV seperti dilaporkan oleh Russia Today.

Di saat ramai kalangan peminat bola sepak dunia mahu melihat gandingan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo di PSG, Khabib nyata mempunyai satu pandangan yang agak kontra.

Bercakap mengenai perpindahan Cristiano, wartawan yang terkenal dalam melaporkan perpindahan pemain, Fabrizio Romano mendedahkan penyerang berusia 36 tahun itu sedang mencari pilihan yang baharu untuk kariernya.

Difahamkan, ejennya, Jorge Mendes juga telah menghubungi juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk menawarkan khidmat Cristiano.

Namun situasi semasa mengenai dikatakan agak ‘sukar’ kerana Juventus mahukan sekurang-kurangnya €25 juta sebagai yuran perpindahan.

Pada masa yang sama, skuad The Cityzen pula tidak berniat untuk mengeluarkan walau satu sen sedangkan Cristiano masih mempunyai baki kontrak selama setahun lagi bersama kelab berpangkalan di Turin tersebut.

Sementara itu, PSG dilaporkan tidak berminat sama sekali untuk mendatangkan khidmat Cristiano ke Parc des Princes pada jendela perpindahan kali ini.

(Visited 11,263 times, 1 visits today)
Close