Written by 6:11 pm Lain-Lain • One Comment

Paralimpik 2020: Nur Syaiful ‘Disqualified’ Hanya Disebabkan Pita Pelekat di Bahu

Perenang negara, Nur Syaiful Zulkafli memulakan aksi dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan kekecewaan apabila penyertaannya terbatal pada peringkat saringan renang S5 gaya bebas 200 meter (m) lelaki.

Lebih malang, Nur Syaiful tidak melepasi peringkat saringan tersebut hanya disebabkan oleh pita pelekat yang ditampal pada bahunya untuk menutup bisulnya yang bernanah.

Sedangkan perkara berkenaan telah dirujuk oleh atlet berusia 26 tahun ini kepada pegawai bertugas sebelum daripada mengambil bahagian pada peringkat saringan yang bertempat di Pusat Akuatik Tokyo itu.

“Sebelum pertandingan saya sudah berjumpa pegawai bertugas mengenai masalah saya. Mereka tidak beri jawapan yang pasti. Mereka kata saya boleh tampal tape (pelekat) atau tanggalkannya.

“Sehari sebelum pertandingan juga saya sudah berjumpa pegawai yang bertugas, jawapannya tetap sama. Mereka juga beri jawapan 50-50, boleh letak atau tanggalkan.

“Jadi bila tiada jawapan pasti, saya pilih untuk tampal pelekat bagi mengurangkan rasa sakit di bisul berkenaan sudah pun bernanah,” katanya seperti dipetik daripada laporan Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya dan Nur Syaiful mahu menebus kekecewaan pada hari ini dalam dua acara lain yang disertainya.

Dua acara tersebut adalah 50m gaya bebas dan 100m kuak dada.

Untuk makluman semua, Nur Syaiful melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 setelah meraih pingat gangsa dalam acara 50m gaya bebas (S5) pada kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

(Visited 4,346 times, 1 visits today)
Close