Written by 5:49 pm Lain-Lain

“Harap Kita Dapat Melayakkan Diri Bersama-sama” – Reaksi Azizulhasni Terhadap Niat Harrif Kembali Ke Velodrom

Niat pelumba basikal lebuh raya, Harrif Saleh untuk kembali beraksi dalam acara basikal trek pada temasya Sukan Olimpik seterusnya disambut baik oleh jaguh keirin negara, Dato’ Azizulhasni Awang.

Bukan sahaja menyambut baik niat rakannya itu, Azizul atau lebih mesra dengan panggilan Jijoe turut memberikan sokongan serta berharap beliau dan Harrif dapat melayakkan diri bersama-sama ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sudah tentu saya gembira kalau dia (Harrif) nak kembali ke trek, saya bersama dia sejak Sekolah Sukan dan Majlis Sukan Negara (MSN) lagi, dan dia pernah berlatih bersama-sama (saya) di Melbourne sekejap,”

“Harrif Saleh merupakan seorang (pelumba) yang berbakat sama seperti saya, kalau dia berhasrat untuk kembali ke trek, saya (sangat) gembira untuknya dan saya (turut) gembira kerana ada rakyat Terengganu yang lain bersama-sama dan harapnya kita dapat melayakkan diri bersama-sama (Sukan Olimpik Paris 2024).” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.

Isnin lalu, menerusi satu laporan media tempatan, Harrif yang berusia 33 tahun menyatakan niat untuk kembali beraksi di velodrom pada temasya Sukan Olimpik sekiranya diberikan ‘lampu hijau’ oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Sekiranya mendapat kebenaran tersebut, beliau menyatakan untuk mengambil bahagian dalam acara omnium.

Sebagai rekod, Harrif pernah beraksi dalam acara berbasikal trek sebelum beralih ke acara berbasikal lebuh raya pada tahun 2010.

(Visited 439 times, 1 visits today)
Close