Written by 4:34 pm Bola Sepak, Malaysia

‘Susah’ Nak Panggil Pemain Berdasarkan Minit Permainan – Coach Satia

Isu minit permainan seringkali diperdebatkan oleh para penyokong dan peminat apabila barisan kejurulatihan menyenaraikan pemain-pemain yang dipilih untuk membarisi skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan atau dikenali sebagai Coach Satia berkata pemilihan pemain berdasarkan minit permainan bersama kelab masing-masing boleh dipraktikkan namun ianya akan berhadapan kesukaran untuk beberapa posisi.

Menurutnya, antara posisi yang akan berhadapan kesukaran untuk dipanggil jika berdasarkan kriteria minit permainan adalah penyerang, pemain perancang dan pertahanan tengah.

B. Satiananthan – Foto: MFL

“(Cadangan) itu ada yang boleh dan ada yang susah sedikit. Memang kita perlu mencari pemain berdasarkan minit permainan tetapi cuba kita lihat beberapa posisi kritikal seperti penyerang, perancang dan pertahanan tengah.

“Posisi ini kebanyakannya didominasi pemain import jadi pemain tempatan kita memang kurang minit. Di bahagian penyerang pun kita lihat siapa yang menerajui senarai penjaring terbanyak? Ini satu cabaran yang besar untuk kita mencari penyerang yang ada banyak minit permainan.

“Tetapi kalau di Eropah, kadang-kadang ada pemain itu kurang minit bersama kelab tetapi tetap dipanggil bersama skuad kebangsaan, contohnya seperti Olivier Giroud. Saya bersetuju dengan Hamidin tetapi saya lihat beberapa kekangan akan dihadapi barisan kejurulatihan,” ulas jurulatih berusia 63 tahun ini seperti dipetik daripada laporan Berita Harian.

Datuk Haji Hamidin Mohd Amin – Foto: MFL

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menyatakan bahagian teknikal perlu melihat kepada kriteria minit permainan dalam memilih pemain yang akan membarisi skuad kebangsaan.

Selain itu, Hamidin juga telah berbincang bersama bahagian teknikal untuk memperluaskan pemilihan pemain-pemain dari pasukan atau negeri yang lain agar skuad kebangsaan kembali menyinar di pentas antabangsa.

Perkara-perkara ini akan dipraktikkan untuk panggilan skuad kebangsaan yang akan datang.

Featured Image: FAM

(Visited 58 times, 1 visits today)
Close