Written by 12:48 pm Lain-Lain • One Comment

2 Pemain Muda Tempatan Sertai Kelab Liga Hoki Belanda, Hattemse MHC

Dua pemain muda tempatan, Ahmad Lutfi Mohd Sam dan Iskandar Fareez Shah Zainal Abidin, berumur 22 tahun masing-masing bakal menyertai kelab hoki yang berpangkalan di Belanda iaitu Hattemse MHC. 

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengeluarkan ‘no objection certificate’ (NOC) kepada kedua-dua pemain ini untuk membenarkan mereka terbang menyertai kelab tersebut bagi beraksi dalam saingan Liga Belanda sehingga ke penghujung tahun ini.

Untuk makluman semua, Ahmad Lutfi merupakan pemain UiTM Hockey Team bagi musim 2020 dan 2021. Sementara itu, Iskandar Fareez juga merupakan pemain UiTM Hockey Team pada tahun 2019 dan 2021 namun dia pernah beraksi semusim bersama TNB Thunderbolts pada tahun 2020 dalam saingan saingan Liga Hoki Malaysia.

Sedikit informasi berkenaan kelab yang diberi julukan De Hazenakker atau Sang Kelinci yang akan disertai oleh kedua-dua pemain ini adalah ianya terletak di dalam wilayah timur tengah Belanda iaitu Gelderland.

Pada saat ini, skuad senior lelaki Hattemse beraksi dalam saingan divisyen ketiga piramid liga hoki negara berkenaan, Overgangsklasse. Saingan liga ini akan bermula dari bulan September dan berakhir pada penghujung November ini.

Menelusuri sejarah kelab yang diasaskan pada tahun 1952 ini, Hattemse merupakan satu kuasa sukan hoki besar Belanda ketika era 1970-an dan 1980-an yang lalu.

Sebagai rekod, mereka pernah bergelar juara Belanda sebanyak tujuh kali – kelab ketiga memenangi kejuaraan terbanyak selepas MHC Oranje Zwart (10 kali) dan Amsterdamsche Hockey &  Bandy Club (9 kali).

Anda boleh mengikuti perkembangan kedua-dua pemain ini dengan mengikuti laman sesawang dan platform media sosial Hattemse MHC:

Laman sesawang: www.hattemhockey.nl

Facebook: Hattemse Mixed Hockey Club

Twitter: Hattemse MHC

Youtube: Hattem Hockey NL

Featured Image: Selangor Hockey Association

(Visited 108 times, 1 visits today)
Close